PAS calonkan anak tempatan di DUN Tenang

PAS sudah membuat keputusan muktamad berhubung siapa yang bakal mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hujung bulan ini.

Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata, parti Islam itu sudah memutuskan siapa calon dalam mesyuarat bulanan ahli jawatankuasa kerja pusat yang diadakan hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan memberi bayangan siapa calonnya. Ia dijangka akan diumumkan 16 Januari ini.

“Dalam mesyuarat hari ini, kita bincang banyak perkara tapi yang utama adalah soal calon.

“Kita terima senarai nama dari (PAS) Johor, bincang dan sudah buat keputusan siapa calon yang akan bertanting mewakili PAS dan Pakatan Rakyat.

“Calon akan diumumkan pada 16 Januari ini, calon adalah anak tempatan, jadi jangan nak tanya banyak-banyak (pasal calon),” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Beliau berkata dengan perubahan yang dibawa Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP tidak mustahil untuk menang walaupun ia kubu kuat Umno-Barisan Nasional (BN).
“Bagi kita Johor dianggap sebagai kubu Umno paling kuat dari dulu tapi perubahan sudah berlaku, tapi kita masih anggap Johor dan Tenang masih kubu kuat.

“Keadaan sudah berubah, kalau dulu tak menang tapi sekang kita sudah menang, kalau kita boleh kurangkan majoriti BN ia satu kemenangan.

“Kalau menang ia satu kejutan tapi bukan mustahil (untuk menang),” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata “kejutan” akan berlaku di pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Kita sedar kekuatan Umno tapi dengan calon dan jentera akan berlaku kejutan, satu persembahan yang menarik yang akan memeriahkan lagi pilihan raya kecil Tenang.

“Kita tahu sejak lima tahun kebelakangan ini Anak telah bekerja dengan begitu kuat sekali, kita sudah dapat dekati dengan warga Felda.

“Jadi saya rasa tiada masalah (untuk dapat sokongan), dengan kehadiran ramai peguam dan kes yang memihak kepada peneroka ia lebih mudah untuk kita,” kata beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang.

Pilihan raya kecil DUN Tenag diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas.

Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang ialah pada 22 Januari in manakala manakala hari pengundian diadakan pada 30 Januari.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi. Kawasan itu mempunyai tiga penempatan Felda dengan pengundi dianggarkan lebih 3,000 orang


ReJaM©

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan