Isu video seks timbul dalam khutbah Jumaat

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Ketika isu rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum “sejuk”, hari ini khutbah Jumaat rasmi negeri Selangor mengecam tindakan pihak yang menyebarkan fitnah tanpa mempunyai sebarang bukti kukuh.

Kandungan khutbah itu menyifatkan tindakan umat Islam yang membuat kenyataan berbentuk fitnah bercanggah dengan syariat Islam.

“Mimbar hari ini berasa amat terpanggil untuk menjelaskan maksud dan kesan fitnah yang wajib difahami, jika kita benar-benar inginkan kesejahteraan dan keredhaan Allah di dunia, apatah lagi di akhirat kelak.

“Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam tidak kisah sama ada ia dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain,” kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor, yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, hari ini.

Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus pada isu tersebut, dipercayai merujuk kepada rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

Muktamar Tahunan PAS Ke-57 yang berakhir Ahad lalu juga meluluskan usul berkaitan tindakan fitnah itu.

Kata khutbah itu, sekiranya fitnah dilakukan ia boleh mendatangkan pertuduhan qazaf terhadap seseorang melakukan perbuatan zina atau liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi yang adil.

“Fitnah ialah mengadakan satu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk.

“Fitnah boleh menimbulkan qazaf dan ia bererti membuat pertuduhan terhadap seseorang melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi adil dan orang yang menuduh telah melakukan jenayah qazaf dan fitnah,” katanya. [Malaysian Insider]

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan