Saturday

Komen Ringkas: Manipulasi Umno Isu Seksualiti Merdeka


SAYA ditanya bertubi-tubi di alam maya oleh pengikut-pengikut Umno kononnya mengenai pendirian KEADILAN dalam isu Seksualiti Merdeka yang dijadikan modal mereka.

Pendirian saya telah saya nyatakan: bahawa saya tidak bersetuju dan tidak bersama dalam hal penganjuran pesta tersebut, kerana ia bertentangan dengan perkara-perkara syarak yang telah jelas.

Persoalan politik (termasuklah political correctness dalam mana-mana perspektif pun) tidak boleh mengatasi soal aqidah dan syarak yang menjejaskan hubungan saya sebagai hamba kepada Allah SWT.

Pendirian yang sama juga telah dibuat oleh ramai pimpinan tertinggi KEADILAN.

Yang agak menjelekkan ialah hipokrasi Umno dan pengikut mereka dalam memanipulasi isu ini bagi kepentingan politik, sehingga secara tidak langsung menjadi pengiklan utamanya.

Saya sendiri tidak pernah tahu bahawa acara ini telah berlangsung sejak tahun 2008 lagi dan telah menjadi acara tahunan.

Selama ini tidak pula dijadikan isu besar atau menjadi ancaman kepada negara sehingga menghiasi muka-muka depan akhbar milik Umno. Selama 3 tahun juak-juak Umno dan pemuka mereka seolah-olah gagal melindungi orang Melayu seperti yang mereka selalu syok sendiri

Tiba-tiba sahaja juak-juak Umno mendapat hidayah macam baru balik bertapa di gua dan tidak habis-habis menyerang pimpinan Pakatan. Tiba-tiba sahaja mereka sedar bahawa Islam itu ditunjangi oleh amal maaruf nahi munkar.

Alhamdulillah kalau begitu. Dah alang-alang mereka insaf sekarang, saya minta mereka teruskan dengan serang pusat-pusat maksiat dan judi yang mana pimpinan Umno turut bersekongkol. Pastikan tidak ada mana-mana yayasan berkait keluarga Umno yang ada hubungan dengan pusat judi di Genting.

Pastikan juga keluarga khalifah tertinggi mereka jual saham dalam syarikat arak terbesar di Filipina. Pastikan juga semua anak-anak syarikat kerajaan tidak terlibat dalam apa-apa perkara yang melanggar syarak, termasuklah judi, rasuah, penipuan, curi peruntukan rakyat dan lain-lain.

Dah alang-alang begitu, pastikan juga isteri-isteri menteri, menteri sendiri, wakil rakyat, Puteri Umno dan isteri mereka tutup aurat!

Sebab kalau nak jadi tok lebai, biarlah kerana takwa kepada Allah SWT. Biar konsisten. Biar istiqamah. Biar fearless.

Tapi saya rasa tak begitu, kalau ketua mereka pun sering mengunjungi tempat-tempat maksiat me

reka diam sahaja. Keluarga khalifah mereka miliki syarikat arak – tidak berbunyi pun. Sudah 3 tahun acara ini berlangsung, tidak pula mereka sibuk-sibuk.

Sebab itu saya sinikal dengan angin tok lebai juak-juak Umno kebelakangan ini, sebab ia satu hipokrasi dan manipulasi politik.

Isu ini dibesar-besarkan kerana mereka mahu menyerang peribadi Dato Ambiga dan seterusnya menyerang rekod beliau sebagai pejuang. Mereka juga berharap dengan menyerang Dato Ambiga, mereka boleh menyerang Bersih.

Saya percaya rakyat juga tertawa dengan lelucon mereka. Bayangkan juak-juak Umno ini tiba-tiba nak jadi tok lebai, tapi ramai di kalangan pemimpin Islam mereka bergelumang dengan pelbagai perkara yang bertentangan dengan syarak.

Tok lebai sejati akan istiqamah dan lawan habis-habisan. Mereka akan pastikan seorang yang terlibat berzina/merogol dengan kanak-kanak bawah umur tidak diberikan peluang langsung di pentas mereka. Ini tidak – jadi pengerusi utama satu badan kerajaan pulak.

Tok lebai celup adalah perkara biasa dalam Umno.

Renung-renungkan dan selamat beramal


Sumber: [Rafizi Ramli]


EmoticonEmoticon