Tuesday

AMK seru rakyat bangkit bantah Saman Rakyat 1 Malaysia (SR1M)


Saman Ekor Rakyat 1 Malaysia melalui Sistem Penguatankuasaan Automatik (AES ) didakwa sebagai  langkah terbesar Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menangani masalah kemalangan. Malah di dalam kenyatan terbaru yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, mendakwa bahawa ini adalah merupakan langkah terbaik kementerian bagi menyaman rakyat.
 
Pelaksanaan saman ekor melalui system AES ini diberikan kepada 2 buah syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd dengan melibatkan anggaran keuntungan lebih RM 700 juta setahun kepada syarikat swasta ini.
 
Menteri Pengangkutan yang juga ahli parlimen Lumut melalui syarikat kroni ini telah berjaya menyaman 63,558 rakyat dalam masa 8 hari pelaksanaan AES di 14 kawasan mulai 23 September lepas. 831 buah kamera bakal dipasang dengan anggaran kutipan sebanyak RM 5 Bilion daripada poket saku rakyat kepada Kerajaan BN dan syarikat kroni.
 
Ini jelas membebankan rakyat hasil tindakan kerajaan Barisan Nasional. Lebih malang kepada rakyat, Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menaikan beberapa barang keperluan rakyat termasuk gula.
 
Sistem pengangkutan awam yang lemah memaksa rakyat untuk berkenderaan, tetapi kerajaan BN terus menekan rakyat dengan saman ekor melalui pelaksanaan AES ini.
 
Angkatan Muda Keadilan Malaysia, menyeru rakyat untuk bangun mementang kezaliman kerajaan Barisan Nasional dan mendesak agar saman rakyat 1 Malaysia AES ini dimansuhkan.
 
Angkatan Muda Keadilan juga menyokong himpunan rakyat membantah pelaksanaan AES di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Ipoh pada hari Rabu ini jam 10 pagi.
 
MOHD SAFULLAH MOHD ZULKIFLI
Timbalan Setiausaha,
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


Sent from my BlackBerry®


EmoticonEmoticon