Kerajaan Negeri Sembilan ‘double standard’ tunggakan sewa antara NFCorp dengan penyewa lain

DALAM laporan akhbar Sinar Harian Edisi Melaka & Negeri Sembilan bertarikh 31 Oktober 2012, Kerajaan Negeri Sembilan hanya memberi amaran akan membatalkan kontrak pajakan tanah sekiranya NFCorp gagal membayar tunggakan sewa yang kini mencecah RM200,000.

Laporan Audit 2011 menyatakan antara kelemahan kerajaan negeri dalam mengurus syarikat ialah tunggak sewa yang tinggi tanpa tindakan tegas diambil.

Bagi syarikat Negeri Roadstone Sdn Bhd, hutang pelanggan yang tertunggak sehingga RM511,951 dan ada yang tertunggak hampir 6 tahun. Bagi sewaan premis, NRSB juga mempunyai tunggakan sewa sebanyak RM101,864 dan hanya mengambil tindakan mahkamah, dan terpaksa menanggung kos guaman sebanyak RM8,899.

Sebaliknya, tindakan tegas telah dikenakan kepada penyewa premis yang mempunyai tunggakan sewa yang jauh lebih rendah dari kes dia atas.

Contohnya, dalam satu surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Notis operasi sita dijalankan kepada seorang penyewa yang hanya mempunyai hutang tertunggak RM992.00, dan operasi mengunci rumah akan dijalankan 3 minggu selepas tarikh notis dikeluarkan.

Tindakan yang tegas juga telah diambil oleh Majlis Perbandaran Seremban kepada seorang penyewa premis di Blok B 1-15 Seremban kerana hanya mempunyai tunggakan sewa sebanyak RM5,050.00, dan arahan mengosongkan premis tersebut juga dikeluarkan dalam masa 14 hari.

Pihak kami bukan menggalakan rakyat Negeri Sembilan supaya berhutang dan tidak membayar sewa premis, tetapi kami mempersoalkan kenapa sikap ‘double standard’ yang diamalkan oleh kerajaan negeri. Sepatutnya tindakan sangat tegas perlu dikenakan kepada penyewa mempunyai hutang yang tinggi.

Sewajarnya, pihak Kerajaan Negeri menilai semula tindakan yang dilakukan, kita tidak mahu tindakan ‘double standard’ tersebut dikenakan atas dasar menjaga kepentingan politik UMNO dan Barisan Nasional Negeri Sembilan.

Disediakan oleh:

YB Hj Mohamad Taufek bin Abd Ghani (Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan)
Hj. Anuar bin Azahari (Timbalan Pesuruhjaya 3)
Nor Azman bin Mohamad (Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan)
Fazilah binti Abu Samah (Ketu Dewan Muslimat Pas Negeri Sembilan)


"

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan