Thursday

Lawan TPPA Hingga Malaysia Tarik Diri


Kenyataan Terbuka

17 Oktober 2013

Lawan TPPA Hingga Malaysia Tarik Diri

Walaupun telah berlangsung dua aksi penting, Pentas Perdana Anti-TPPA di Kg Baru dan Demonstrasi Bantah TPPA di hadapan KLCC minggu lalu, ia bukan bermakna penentangan terhadap Perjanjian TPPA sudah berakhir.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyeru semua pihak agar meneruskan bantahan terhadap Perjanjian TPPA sehingga Malaysia sah menarik diri dari perangkap yang mampu menggadai kedaulatan negara.

Isu TPPA ini bukanlah satu isu yang mudah untuk disampaikan kepada umum, ia agak teknikal dan tidak terjangkau imiginasi keburukkannya kerana TPPA belum menjadi kenyataan. Malah pihak kerajaan tidak menjalankan amanah apabila terus berahsia ketika perbincangan TPPA memasuki fasa terakhir sebelum perlaksanaan. Rakyat telah diketepikan dalam soal menentukan masa depan negara.

Justeru itu, sejak dua bulan lalu SAMM menjalankan peranan membangkit kesedaran rakyat betapa isu TPPA perlu dihangatkan merentasi bidang warna politik. Dengan kerjasama sekutu mahasiswa dan Gabungan BantahTPPA, SAMM telah menggerak jentera di seluruh negara dalam aksi Jelajah #TolakTPPA di mana setiap negeri tidak terkecuali menganjur ceramah umum. Penceramah dari pelbagai parti politik dan NGO khususnya dari Bantah telah menyertai jelajah ini. Sebanyak enam puluh ribu risalah kesedaran bahana TPPA telah diedar sepanjang jelajah.

Kemuncak jelajah menyaksikan Pentas Perdana di Kelab Sultan Sulaiman pada 10 Oktober lalu menghimpun tokoh politik dan aktivis, termasuk dua tokoh ternama tanahair telah diundang naik sepentas melawan TPPA, iaitu DS Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir Mohamad. Namun hanya DS Anwar sahaja yang muncul pada malam tersebut manakala Tun Mahathir tidak memberikan jawapan positif.

SAMM menjemput Tun Mahathir kerana kelantangannya menghalang TPPA dimetrai. Namun sejauh mana keikhlasan Tun Mahathir? Apakah hanya demi menyelamatkan perniagaan monopoli anak dan kroni yang bertaraf konglomerat dari jatuh tersungkur di kaki konglomerat antarabangsa? Kerana mahu merungkai persoalan rakyat, SAMM memberi ruang kepada Tun Mahathir bagi menjelaskan sesuatu. Ternyata Tun tidak berani seperti yang dikenali. 

Di sebelah pihak lagi, DS Anwar walaupun dituduh ejen Amerika dan didakwa punya hubungan istimewa dengan US namun beliau berani tampil dengan tegas menolak Perjanjian TPPA yang penuh agenda tersembunyi. DS Anwar mengulangi pendiriannya sejak awal menolak TPPA, ketegasan dan keberanian ini wajar diberi pujian. 

Malah DS Anwar turut menyuarakan tujuan Mahathir menolak TPPA adalah sebagaimana Mahathir yang sama menolak IMF, demi untuk terus memastikan urusan kewangan negara boleh diperlakukan sesuka hatinya ketika menjadi Perdana Menteri. Ia bukan demi rakyat, tetapi demi kepentingan diri dan kuasa.

Kehadiran orang ramai pada malam Pentas Perdana Anti-TPPA tidaklah mengecewakan walaupun hujan lebat bermula sejak awal petang hingga ke malam. Lebih seribu memenuhi segelinap padang dan juga menerusi siaran langsung yang dibawa oleh TV Selangor menyaksikan lebih 10 ribu audiens.

Tanggal 11 Oktober, sempena kehadiran wakil Presiden Barrak Obama ke Malaysia, SAMM bersama Gabungan BantahTPPA membuka gelanggang demonstrasi di depan KLCC. Berarak dari Masjid As-syakirin terus ke depan KLCC, rakyat khussunya golongan anak muda menyatakan bantahan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian TPPA. Ini jelas.

SAMM dengan pelbagai usaha dan kerjasama, bertekad memastikan tanahair ini tidak dijual melalui skim TPPA. Oleh demikian, proses kesedaran umum amatlah penting. Syukurlah sejak akhir-akhir ini soal TPPA sudah mula dibicarakan di media dan rata-rata rakyat kelas pertengahan telah mula mengambil tahu tentang TPPA, tidak seperti dua bulan yang lalu. 

Soal TPPA kini semakin popular memberi tekanan yang besar hingga menyebabkan langkah kerajaan kian kendur, malah Perdana Menteri turut bermain jalan selamat mengutarakan kebimbangan. Kebimbangan Perdana Menteri juga dilihat tidak 'menjamin', dan membimbangkan. Najib Razak sememangnya tidak punya ketegasan.

Ayuh terus lawan, rakyat bersatu pasti tidak akan dikalahkan. Menyelamatkan kedaulatan tanahair harus jadi keutamaan setiap anak bangsa Malaysia!

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)




EmoticonEmoticon