Friday

Kelab Penyokong Kerajaan Selangor Jadi Kelab Kongkalikong


Kenyataan Media
28 November 2013

Kelab Penyokong Kerajaan Selangor Jadi Kelab Kongkalikong

Semalam SAMM Johor menjadi antara yang pertama menyuarakan rasa tidak bersetuju terhadap kenaikan gaji yang terlalu tinggi DUN Selangor di kala rakyat masih terbeban dengan kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin mendesak.

Hari ini, setelah pelbagai pihak menyatakan bantahan termasuklah komentar Ketua Pembangkang yang menyatakan kenaikan itu terlalu tinggi, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor membuat pusingan 180 darjah apabila Pengerusinya, YB Azmin Ali membuat kenyataan meminta pentadbiran Kerajaan Negeri mengkaji semula keputusan yang telah diluluskan semalam.

Persoalan yang ingin SAMM Johor lontarkan adalah mengapa semalam sewaktu usul pindaan dibentangkan di Dewan DUN, BBC Selangor tidak menyatakan bantahan atau menolak usul ini daripada diluluskan? Adakah BBC berpandangan bahawa Dewan DUN itu adalah seperti sebuah set penggambaran drama? Di dalam Dewan DUN, mereka mengundi untuk meluluskan usul kenaikan namun apabila berhadapan dengan media BBC membuat pusingan 180 darjah dan meletakkan semua beban kesalahan kepada Menteri Besar seorang.

Kelulusan kenaikan gaji ini bukanlah keputusan eksekutif semata-mata. Ia adalah keputusan kolektif kesemua ahli Dewan Negeri Selangor. Ia dibahaskan dan diundi untuk kelulusan. Maka, adalah tidak patut setelah pelbagai lapisan rakyat menyatakan bantahan termasuklah Ketua Pembangkang yang menyatakan bahawa kenaikan ini terlalu tinggi, barulah BBC tersedar daripada lenanya.

Atau apakah kenyataan Pengerusi BBC ini hanya untuk mengampu Ketua Pembangkang yang juga merupakan Ketua Umum PKR semata-mata? Setelah Dato' Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan tersebut barulah BBC tersedar ataupun semasa usul ini dibahaskan semalam Pengerusi BBC tidak berada di dalam Dewan DUN sehinggakan beliau tidak menyedari usul kenaikan gaji ini dibahaskan?

Rasional perbandingan gaji Menteri Besar, Exco, ADUN, Speaker dan Timbalan Speaker dengan swasta bukan satu justifikasi yang boleh diterima pakai. Swasta atau korporat adalah merupakan organisasi yang berorientasikan keuntungan sedangkan pentadbiran Kerajaan lebih berorientasikan khidmat kepada rakyat. Jika rasional ini digunapakai, maka seharusnya seluruh penjawat awam Negeri Selangor perlu menerima gaji yang setara dengan sektor swasta.

Cukuplah bermain wayang. Rakyat tidak buta. Rakyat tidak pekak. Rejim Pakatan Rakyat jangan mengikut telatah rejim Barisan Nasional yang sering menghina akal rakyat. Apa yang boleh kita simpulkan BBC Selangor telah menjadi Kelab Kongkalikong. Apa yang sedang anda persembahkan ini jelas menghina intelektual rakyat.

Roslee Mohd Shariff
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor
SAMM Johor

2 comments

Azmin ali kau rehatlah jaga keluarga kau perbetulkan adik beradik kau..kau pun bukannay hebat sangat..aku penyokong PR pun bengang dengan tindak tanduk kau..rafizi lagi bagus.

Laa baru tahu ke..


EmoticonEmoticon