Tuesday

Rakyat Perlu Bayar Ribuan Ringgit Untuk Fahami GST


Kenyataan Media
7 Januari 2014

Rakyat Perlu Bayar Ribuan Ringgit Untuk Fahami GST

Kenyataan balas kepada kenyataan Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri Jabatan Kastam dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) berhubung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


Menyedari bahawa sistem percukaian adalah merupakan instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah Negara untuk menjana hasil atau pendapatan. Cukai yang dipungut ini dibelanjakan oleh kerajaan bagi tujuan keselamatan Negara, rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur untuk membangunkan ekonomi, dan pelbagai lagi, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak terburu-buru membuat kenyataan rasmi tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

SAMM, sebuah gerakan anak muda yang mempunyai jaringan anggota di seluruh Malaysia telah membuat ketetapan untuk menubuhkan Sekretariat GST dengan objektif utama menjalin kerjasama dengan agensi-agensi perlaksana GST. Antaranya ialah Kementerian Kewangan, Kastam DiRaja Malaysia dan Malaysia Industrial Development Authority (MIDA), maka sebuah bengkel latihan dan pemahaman GST akan diadakan pada 18 Januari ini menjemput kedua-dua agensi ini menyampaikan kefahaman yang proaktif bagi mengelakkan kekeliruan rakyat kelak.

Sekretariat GST SAMM telahpun mengambil inisiatif dengan menghubungi pihak-pihak agensi kerajaan iaitu melalui surat yang diemelkan kepada MIDA bertarikh 26 November 2013,  surat permohonan (no rujukan SAMM-20131203-GST-01) bertarikh 3 Disember 2013 kepada Pejabat Perlaksanaan GST, Kementerian Kewangan dan melalui sistem dalam talian permohonan seminar GST Kastam DiRaja Malaysia (No. Rujukan RQ-027660).

Namun, MIDA telah menolak permohonan tersebut manakala MOF dan KDRM masih membisu sehingga hari ini. Persoalan yang ingin diutarakan adalah mengapa agensi-agensi perlaksana ini tidak mahu membuka ruang kepada kumpulan-kumpulan anak muda non-partisan seperti SAMM untuk mendapat peluang mendengar penjelasan mereka, memahami kaedah percukaian GST, membuat penilaian dan berkongsi idea mengenai rejim percukaian ini? Ditolak dengan pilihan tarikh lain dan ditolah mentah-mentah adalah dua perkara berbeza.

Setelah meneliti kenyataan dari MOF yang menyeru pihak yang ingin bekerjasama dalam memahami GST serta peruntukkan bernilai RM 100juta disediakan bagi memenuhi maksud latihan GST, maka SAMM ingin penjelasan dari MOF mengapakah permohonan bengkel GST tidak mendapat sebarang jawapan walaupun telah sebulan permohonan ini dihantar. Mengapa pihak agensi-agensi perlaksana ini tidak mahu untuk bekerjasama dengan SAMM? Satu ketika kamu pinta SAMM untuk mengikut saluran, satu ketika lagi kamu tutup semua pintu-pintu saluran yang ada.

Sekretariat GST SAMM juga tidak mahu terperangkap dalam permainan polemik politik berhubung perlaksanaan cukai GST kerana itulah SAMM memilih untuk mendengar dulu penerangan kaedah perlaksanaan GST daripada agensi terbabit sebelum satu pandangan atau komen rasmi dapat dikeluarkan. SAMM amat berharap agar agensi-agensi perlaksana GST ini juga tidak terperangkap dengan aksi politik semata-mata sebaliknya meraikan segenap lapisan masyarakat untuk mendapat penjelasan penuh dan menyumbang sedikit pandangan berhubung perlaksanaan GST.

Sekretariat GST SAMM turut menerima sesalinan emel daripada sebuah badan latihan yang mengenakan yuran bengkel GST sebanyak RM 1200 kepada setiap peserta sedangkan pihak Kementerian Kewangan menyediakan peruntukkan sebanyak RM 100juta bagi tujuan latihan dan pemahaman GST.

Akhirnya di sebalik segala polemik mengenai GST, terdapat pihak-pihak mengambil peluang mengenakan yuran yang mahal dan mengaut keuntungan dan berkemungkinan meningkat perbelanjaan latihan kepada syarikat-syarikat pemain industri yang mana mungkin segala perbelanjaan dan kos ini akan dipulangkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Seharusnya, kerajaan meraikan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyediakan platform latihan GST bukannya membiarkan syarikat swasta membuat latihan dengan yuran yang mahal.

Mohd Faizal Ab. Rahman
Sekretariat GST/TPPA
Penyelaras SAMM Kebangsaan


EmoticonEmoticon