Sunday

Anwar Ibrahim kemuka 4 cadangan atasi masaalah ekonomi negara


PADA 12 Disember tahun lalu, saya telah memaklumkan kepada rakyat Malaysia untuk bersedia menghadapi waktu-waktu sukar kerana kita sedang berhadapan dengan hentakan berganda melalui penurunan harga minyak mentah antarabangsa di samping penyusutan nilai Ringgit Malaysia ke tahap terendah semenjak krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Harga minyak mentah Brent terus menurun. Sehingga kini, ia telah menyusut sebanyak 53 peratus dari tahun lepas, yakni daripada purata 108 Dollar Amerika Syarikat setong pada Januari 2014 kepada 51 Dollar Amerika Syarikat secara purata bagi bulan Januari 2015.

Nilai Ringgit kini merupakan matawang Asia yang paling lemah, mengkesampingkan nilai Yen. Ia telah menyusut kepada RM3.55 untuk setiap 1 Dollar Amerika Syarikat daripada RM3.32 setahun yang lalu. Sejak Oktober 2014, ringgit telah menyusut hampir 8.3 peratus.

Benar, bahawa matawang Asia yang lain turut menyusut dan terkesan ke atas Dollar Amerika Syarikat, tetapi matawang kita jatuh hampir dua kali ganda jika dibanding Dollar Taiwan dan Dollar Singapura pada 4.59 peratus dan 4.50 peratus masing-masing berbanding Dollar Amerika Syarikat.

Harga minyak sawit mentah juga melemah pada anggaran 10 peratus kepada RM 2300 satu tan.

Dampak Pada Hasil Negara

Pendapatan daripada minyak dan gas membentuk 30 peratus daripada keseluruhan pendapatan kerajaan. Belanjawan Persekutuan 2015 yang telah dibentangkan  pada 10 Oktober tahun lepas adalah berasaskan kepada julat harga minyak mentah antara 100 ke 105 Dollar Amerika Syarikat setong.

Malah sebelum penyusutan ke tahap semasa, Petronas telah memberi amaran sekiranya harga minyak mentah pada anggaran purata 70 ke 75 Dollar Amerika Syarikat, keseluruhan sumbangan kepada pendapatan kerajaan akan menyusut sebanyak 8 peratus. Ini bermakna pengurangan sebanyak RM 19.4 billion daripada anggaran pendapatan sebanyak RM 242 billion ke atas unjuran belanjawan 2015.
Kini, dalam pada harga minyak menurun hampir separuh, apakah dampak sebenar ke atas pendapatan negara?

Meskipun dimaklumi bahawa akan berlaku penjimatan subsidi minyak, namun sebagaimana yang dilapor oleh Maybank Research di dalam penerbitan terbaharu mereka, penyusutan pendapatan sebanyak RM 8.4 billion akan melangkaui penjimatan subsidi dan mengakibatkan defisit fiskal sebanyak 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bukannya seperti yang sasaran 3 peratus untuk tahun 2015.

Menurut Goldman Sachs dan Morgan Stanley, harga minyak mentah bakal terus terapung di antara 40 ke 50 Dollar Amerika Syarikat pada tahun 2015. Ini membawa maksud kesan ke atas pendapatan kerajaan dan defisit akan menjadi lebih parah. Beberapa penganalisis memberi peringatan mengenai tahap defisit yang mampu mencecah setinggi 5 peratus.  Ini akan berlanjutan sekiranya nilai Ringgit Malaysia terus menyusut dan harga minyak sawit mentah terus jatuh.

Dari segi pelaburan ekuiti, menurut CLSA (Credit Lyonnais Securities Asia), Malaysia mencatatkan prestasi pasaran saham terburuk Asia pada tahun 2014.  Meskipun bursa saham Indonesia, Thailand dan Singapura masih berjaya mencatatkan pertumbuhan positif, bursa saham negara mencatatkan penurunan yang signifikan.

Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakan terdahulu, terdapat juga isu berkaitan aliran keluar modal asing daripada kedua-dua pasaran bon Ringgit (45 peratus daripada keseluruhan MGS (sekuriti kerajaan Malaysia)) dan ekuiti. Tarikan pasaran yang lemah serta ketidaktentuan fiskal akan mendorong Ringgit menyusut ke tahap terendah dalam sejarah serta menolak kadar pulangan MGS dan menaikkan kos pembiayaan (nisbah hutang kepada KDNK pada 55 peratus).

Apa Yang Harus Kerajaan Lakukan Sekarang?

Pertama sekali, korupsi dan ketirisan perlu ditangani. Kami melalui Pakatan Rakyat telah membentangkan dalam Belanjawan Bayangan Pakatan Rakyat 2015 bahawa penjimatan konservatif hanya pada kadar 15 peratus dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan mampu menjimatkan hampir RM 20 billion atau bersamaan 1.6 peratus daripada unjuran KDNK.

Kedua, kita harus menghentikan budaya pembaziran serta cara hidup mewah dan boros yang diselimuti melalui proses perolehan yang samar dan amalan penswastaan yang legap. Kerajaan perlu berhenti menyorok setiap hutang lapuk di bawah hamparan luar kunci kira-kira.

Tiada satu sebarang alternatif kepada tatakelola yang baik selain daripada maklumat yang benar dan telus berhubung kewangan negara. Dalam hal ini, kita sudah sedia terkesan dibebani skandal 1MDB. Rakyat sudah muak dan tidak mampu bertolak ansur lagi.

Ketiga, Jawatankuasa Krisis Nasional yang bersifat rentas parti politik perlu ditubuhkan pada kadar segera melibatkan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, para ekonomis, pakar-pakar pasaran serta pakar dalam bidang-bidang berkaitan.

Jawatankuasa ini, antara lain hendaklah ditugaskan dengan peranan dan tanggungjawab untuk memantau harga komoditi setiap hari dan diberikan kuasa untuk melaksanakan segala langkah bersesuaian untuk mengurangkan dampak negatif selepas sebarang konsensus dicapai.

Keempat, kerajaan perlu bersedia untuk memperkenalkan langkah-langkah penjimatan sekiranya harga minyak menyusut ke tahap lebih rendah dan kekal statik. Ini bermaksud keperluan memangkas projek-projek mega, tetapi meneruskan perbelanjaan dalam bidang-bidang kritikal seperti kesihatan, pendidikan, dan bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir.

Perlu diingatkan bahawa negara-negara yang bergantung kepada hasil mahsul minyak seperti Norway (yang mempunyai tatakelola pengurusan dan pentadbiran yang baik) juga telah berada dalam mod bersedia untuk berhadapan dengan kesan jangka panjang berikutan harga minyak yang rendah.

Diakui bahawa pergerakan harga komoditi antarabangsa merupakan sesuatu di luar kawalan kita. Sungguhpun begitu, kita berkemampuan mengawal seluruh cara perbelanjaan dan pengurusan kewangan negara.

Di sinilah kerajaan gagal dan terus gagal meskipun Pakatan Rakyat berulang kali menggesa agar berpijak pada bumi yang nyata dan mengambil langkah-langkah pencegahan. Apakah yang telah dilakukan sebelum ini? Apakah ini sikap yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk bertransformasi?

Krisis Banjir dan Pengajarannya

Inilah sikap yang sama yang telah mengakibatkan kemusnahan dek bencana banjir baru-baru ini. Banjir merupakan satu fenomena saban tahun yang telah berlaku berabad lamanya, tetapi tiada langkah kawalan dan pencegahan yang serius dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Dalam hal ini, kita harus mengagumi badan-badan NGO yang datang beramai-ramai menghulur bantuan. Melangkaui batas agama dan bangsa yang berbeza, sokongan dan kesiapsiagaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelumnya dan menunjukkan peri penting Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bersekali dengan badan-badan NGO.

Mesej Kepada Rakyat

Zaman sukar menanti kita kesan daripada perbelanjaan kerajaan yang bakal dikurangkan dan pertumbuhan ekonomi yang turut menguncup.  Rakyat perlu kekal berjimat cermat dan jangan menambah hutang atau komitmen kewangan yang tidak perlu.

Tatkala inflasi berterusan meningkat di saat penggajian kekal di takuk lama, rakyat akan berhadapan dengan kesukaran ekonomi yang hebat dan ketidakseimbangan pendapatan akan terus melebar.

Justeru, kami menggesa kerajaan agar telus dalam meramal ekonomi negara. Rakyat menantikan pengumuman Selasa ini dan menjangkakan usaha Kerajaan Persekutuan yang serius lagi bersungguh-sungguh untuk menstruktur semula Belanjawan 2015.

Anwar Ibrahim
Penasihat Ekonomi Negeri Selangor
18 Januari 2015

Nota: Kenyataan ini disampaikan sebagai ucapan dasar di program Meet Anwar di One World Hotel pada 18 Januari 2015. Sila rujuk dan banding dengan ucapan tersebut.

8 comments

Cadangan yang lapuk dari seorang bekas banduan. Solusi terbaik adalah Najib dan rosmah turun takhta. Zeti jaga cucu. Petronas di bubarkan. Mahathir dan daim pulangkan wang songlap jika ada. Jual negara Malaysia kpd yg maha kaya iaitu saudi arabia dan lantik pak syeikh sebagai residen Malaysia yg baru

Pak Sheikh pun kena pulangkan duit rakyat berbillion yang dia kebas semasa jadi TPM. Jangan nak kata orang kamu tu lagi dahsyat.

Anuar brahim ni pndai ke psal ekonomi.??
KRISIS 98 suruh pnggil IMF msuk mlysia.
Nsib baik kpla otak TUN bjak.
Note 1k n note 500 dhpuskn.

Bertahan bro...lu legend..penjara takan senyapkan lu...teruskan perjuangan....ingat tu bro...lu legend.salute.

Nuar .. Nuar .. kes KAMPONG BUAH PALA .. TIDAK BOLIH SELESAI ..
INI KAN PULA KES NEGARA ..
BILA BERJANJI .. BULAN .. BINTANG n MATAHARI ..
SEMUA BUAT UNTUK RAKYAK MARHAEN ..
DASAR SIKETUM .. MUNAFIQ .. BAPA KEPADA SEGAL MUNAFIQ..

Ayat malaysiabaru yg kimak

Tun pale uto

Mcm bapak ko


EmoticonEmoticon