AMK gesa polis hentikan ugutan dan hormati hak rakyat untuk berhimpun

ANGKATAN Muda Keadilan mengecam sekeras-kerasnya ancaman ke atas ahli politik dan aktivis yang terlibat dengan perhimpunan #KitaLawan di perkarangan Sogo pada 7 Mac melalui penangkapan serta penyoalsiasatan yang tidak berasas.
 
Terbaru, Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong dan aktivis-aktivis muda Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh ditahan semalam. Sebelum ini saya sendiri; Ketua AMK Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli; Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Faris Musa; Naib Presiden dan Setiausaha Agung KEADILAN Rafizi Ramli dan Bendari Dewan Pemuda PAS Perak Ustaz Fakhrul Razi Mokhtar.
 
Kami ingin mengingatkan di sini bahawa perhimpunan di Sogo tempoh hari yang dihadiri oleh lebih 10,000 orang adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan telah dianjurkan dengan aman tanpa sebarang permasalahan ataupun gangguan. Ketika perhimpunan berlangsung pihak polis telah membantu menjaga trafik dan kelancaran program.
 
Namun begitu, selepas perhimpunan pihak polis telah menggunakan undang-undang yang tidak relevan untuk mewajarkan tindakan mereka. Peruntukan 9(5) Akta Perhimpunan Aman terus diguna pakai meskipun keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkannya bertentangan dengan Perlembagaan.

Tindakan itu bukan sahaja memberi persepsi negatif ke atas kedaulatan undang-undang tanahair, malah ia juga memberi ancaman kepada teras prinsip demokrasi negara.
 
Kami menyeru pihak polis untuk menghentikan taktik ugutan ini dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun serta menyuarakan pandangan.
 
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

15 Mac 2015

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan