Mana utama, Jet mewah atau kesihatan rakyat? — Nurul Izzah

SEMENTARA kerajaan gah berbelanja membeli jet mewah untuk kegunaan Perdana Menteri dengan harga RM465 juta, tidak termasuk kos ubah suai sebanyak RM28 juta, kita dikejutkan dengan laporan pemotongan belanjawan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebanyak RM120 juta.

The Malaysia Insider melaporkan kebimbangan beberapa orang doktor dengan pengurangan bajet dari RM510 juta tahun lepas kepada RM387 juta pada tahun ini. Pengurangan bajet ini dijangka akan memberi kesan kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran doktor-doktor pelatih yang berkhidmat di Pusat Perubatan tersebut.

Kebimbangan ini juga dikongsi oleh pesakit-pesakit, adanya dilaporkan telah menerima bil hospital setelah sebelum itu dikecualikan daripada membuat bayaran. Laporan itu juga menyebut pesakit tidak lagi mengunjungi hospital untuk mendapatkan ubat, kerana bimbang terpaksa membuat bayaran yang tinggi di hospital tersebut.

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang mengurangkan belanjawan bagi salah satu perkhidmatan yang paling penting di dalam negara. Dimanakah keutamaan kerajaan? Persoalan yang menghantui rakyat pada ketika ini dengan kenaikan kos sara hidup pada ketika ini ialah apakah kerajaan lebih mementingkan kemewahan pemimpin berbanding dengan kualiti hidup rakyat? Jelas dengan tindakan ini, slogan Rakyat Diutamakan yang sering dicanang oleh kerajaan Barisan Nasional hanyalah mimpi sahaja.

Tambahan pula, rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan harga ubat, terutamanya selepas pengenalan GST. Harga ubat yang telah meningkat antara 20 ke 30 peratus pada tahun lepas diramalkan akan terus meningkat pada tahun ini. Tambahan, cuma lebih kurang 320 sebatian kimia (dalam 4200 jenama ubat) yang dikadarkan sifar, sepertimana yang tersenarai dalam  Senarai Ubatan Penting Kebangsaan (NEML).

PPUM adalah sebuah hospital yang amat penting sekali, terutamanya kepada warga berpendapatan rendah di sekitar Lembah Pantai. Pemotongan belanjawan ini sudah tentu akan menyebabkan perkhidmatan kesihatan yang diterima oleh penduduk kawasan parlimen saya terjejas teruk. 

Seterusnya, PPUM yang merupakan sebuah hospital pengajaran. Pengurangan belanjawan ini memungkinkan kesan negatif berganda dikalangan pengamal perubatan masa hadapan, disebabkan latihan yang tidak mencukupi. Pada masa ini ada keperluan untuk menyelaraskan keperluan hospital-hospital pengajaran dibawah seliaan Kementerian Pendidikan, dengan hospital-hospital lain dibawah seliaan Kementerian Kesihatan.

Justeru, saya menggesa kerajaan agar membetulkan keutamaan mereka. Tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat tidak boleh disalahgunakan untuk kemewahan pemimpin sahaja. 

Penjagaan kesihatan adalah hak semua, bukan untuk golongan mahakaya sahaja.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA KEADILAN

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan