Hindari himpunan berwajah perkauman

DALAM al-Quran, Allah swt menyatakan bahawa negara yang tidak dibinasakan oleh Allah adalah kerajaan yang rakyat dan pemerintahnya saling baiki membaiki, saling betul membetulkan. Hal ini, seperti ditegaskan oleh Allah dalam Firman Allah dalam surah Hud, ayat 117. 

Sikap perkauman merupakan antara tindakan yang, bukan sekadar tidak melahirkan kebaikan, malahan ia boleh memberi implikasi keburukan kepada rakyat dalam sesebuah negara. Ia umpama benih bagi kehancuran bagi sesebuah pemerintahan.

Dalam tradisi islam, perkauman sempit ini dinamakan sebagai asobiyyah. Dalam satu hadis yang saheh dinyatakan bahawa Nabi  ada bersabda yang bermaksud, "Bukan dalam kalangan kami orang yang menyeru atas dasar perkauman sempit; bukan dalam kalangan kami orang yang berjuang atas dasar perkauman sempit; bukan dalam kalangan kami orang yang mati atas dasar perkauman sempit".

Bagi sesebuah kerajaan yang mentadbir rakyat pelbagai bangsa dan pelbagai agama, sewajarnya sebarang tindakan yang boleh melahirkan semangat perkauman sempit akan diusahakan agar diberhentikan. Begitujuga, sebagai rakyat biasa, tidak sewajarnya melibatkan diri pada program yang melahirkan perkauman sempit ini. Ini kerana, implikasinya amat buruk, iaitu  bakal melahirkan permusuhan berasaskan kaum. Lebih bahaya lagi, jika amalan durjana ini disulami dengan hujah Islam, sedangkan Islam tidak mungkin bersekongkol dengan permusuhan. 

Himpunan baju merah yang dirancang berlaku pada 16 September. Berdasarkan kenyataan dan tindakan pihak penganjur, dari sudur persepsi, kelihatan  himpunan yang tidak memberi sesuatu kecuali keburukan kepada suasana aman damai di Malaysia. Ini kerana, asas bagi himpunan ini sendiri, elemen dan unsur perkauman semakin lama semakin kelihatan. Lebih-lebih lagi, himpunan ini dilakukan di Plaza Low Yat yang sebelum ini sudah ada krisis kecil yang melibatkan kecalaran hubungan kaum di Malaysia. 

Justeru, Bippa AMK menentang keras sebarang tindakan yang boleh melahirkan permusuhan atas nama kaum, seperti yang mahu dianjurkan oleh pihak Baju Merah. Jauh lagi, jika ia boleh melahirkan permusuhan atas nama agama. 

Wan Ji bin Wan Hussin
Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BIPPA) AMK PUSAT

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan