Laporan penuh tentang rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield

Kuil Sri Maha Mariamman

BILIK gerakan ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya telah menerima panggilan daripada orang awam mengenai insiden kekecohan di kuil Sri Maha mariamman, Seafield.

Sejurus selepas menerima laporan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah pun mengarahkan semua unit yang berada di lapangan menuju ke tempat kejadian.

Pada jam 2.50 pagi empat buah MPV polis tiba di tempat kejadian tetapi telah dihalang masuk oleh sekumpulan lelaki India. 

Cermin belakang sebuah MPV telah dipecahkan di samping terdapat sebuah lori treler tangki di letak melintang menghalang jalan menuju ke kuil.

Pada jam 3.30 pagi Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah menghubungi Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan ibu pejabat Polis Daerah Serdang untuk mendapatkan bantuan anggota tambahan.

Bantuan IPD Serdang dengan kekuatan seorang pegawai dan 99 anggota tiba di tempat kejadian pada jam 4.00 pagi. 

Pada ketika itu telah berlaku pergaduhan di dalam kuil di antara kumpulan penganut agama Hindu dan kumpulan lelaki Melayu yang menceroboh kawasan kuil. 

Setelah tercetus pergaduhan sebahagian daripada kumpulan lelaki Melayu ini telah melarikan diri daripada kawasan kuil. 

Sejurus selepas itu kumpulan penganut agama Hindu telah bertindak membakar beberapa buah kenderaan yang dipercayai milik kumpulan lelaki yang menceroboh kawasan kuil. 

Pasukan bomba telah menerima panggilan bantuan kebakaran pada 4.38 pagi dan tiba di tempat kejadian 25 minit kemudian untuk mengawal kebakaran.

Pasukan FRU telah tiba di tempat kejadian pada jam 5:30 pagi dengan kekuatan dua orang pegawai dan 201 orang anggota. Menjelang pagi 26 November 2018 keadaan di sekitar kuil telah berjaya dikawal oleh anggota polis dan keadaan kembali tenang.

Ekoran daripada kejadian pergaduhan ini tiga orang lelaki Melayu dan tiga orang lelaki India telah tercedera seorang anggota polis turut mengalami kecederaan.

Keesokan harinya, iaitu pada awal pagi 27 November 2018 dianggarkan sejumlah 10 ribu orang kaum India berkumpul di kawasan sekitar kuil selain menimbulkan kekecohan, beberapa buah kenderaan turut dibakar oleh kumpulan ini.

Anggota bomba yang berada berhampiran kawasan kuil cuba untuk memadamkan kebakaran, tetapi gagal ekoran berlaku rusuhan dan serangan terhadap kenderaan milik bomba. 

Dalam kejadian tersebut seorang anggota bomba Mohamad Adib bin Kassim telah dicederakan oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali. 

Beliau mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke Subang Jaya Medical Centre oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Kumpulan perusuh ini juga bergerak ke pejabat One City Development Sdn Bhd. mereka bertindak memecahkan dinding cermin bangunan, merosakkan peralatan di dalam bilik pameran dan membakar beberapa buah kenderaan.

Ekoran insiden ini pihak polis telah pun mengambil langkah-langkah perlu untuk mengawal keadaan. Situasi pada ketika itu adalah terkawal dengan tiada lagi insiden kekecohan ataupun rusuhan berlaku di sekitar kawasan kuil.

Memandangkan insiden ini mempunyai unsur jenayah, siasatan telah dimulakan serta-merta untuk mengenal pasti pelaku-pelaku jenayah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Oleh kerana siasatan kes ini agak rumit dan memerlukan tenaga kerja yang ramai, sebuah pasukan petugas khas ataupun "task force" untuk siasatan telahpun ditubuhkan. 

Pasukan ini yang diketuai oleh Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin bin Mohamad pengarah jabatan Siasatan Jenayah PDRM, menggabungkan kakitangan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Kontinjen Selangor, dan beberapa daerah di kontijen Selangor dan operasi ini dikenali sebagai "Ops Seafield,"

Sehingga kini sebanyak 34 orang telah pun dirakamkan percakapannya sejumlah besar barangan fizikal juga telah berjaya dirampas di tempat kejadian, iaitu 21 buah kereta dan enam buah motosikal yang dibakar, satu bilah pisau dan dua bilah parang, dan 7 pasang kasut dan 3 vest.

Pihak polis juga telah menangkap 30 individu yang terdiri daripada 24 orang Melayu 2 orang India muslim 3 India dan seorang Cina, dan semua mereka telah direman dengan tempoh reman yang berlainan, sementara 5 orang individu yang baru ditangkap semalam (28 November 2018) direman pada hari ini.

Siasatan polis menjurus kepada isu pengalihan kuil yang menjadi punca rusuhan. Pihak pemaju telahpun mendapat perintah mahkamah untuk mengambilalih pemilikan tanah sejak tahun 2014.

Terdapat beberapa kali percubaan oleh pihak pemaju untuk mengambil alih tanah tersebut tetapi gagal kerana terdapat bantahan daripada kumpulan penganut agama Hindu.

Siasatan polis mendapati pada hari kejadian sekumpulan lelaki Melayu yang menceroboh masuk ke dalam kawasan kuil bertindak atas arahan beberapa individu yang bekerja dengan One City Development Sdn. Bhd.

Kumpulan ini telah menerima bayaran tertentu untuk tugas mengosongkan kawasan kuil bagi membolehkan kerja-kerja pengambil alihan dilaksanakan pada pagi tersebut.

Pihak polis telah menahan reman seorang peguam dalaman syarakat dengan  'in house lawyer' yang disyaki terbabit di dalam mengupah kumpulan lelaki Melayu untuk melakukan pencerobohan ke atas kuil. 

Siasatan awal polis mendapati kumpulan ini yang berjumlah 50 orang menerima bayaran antara RM150 hingga RM300 seorang.

Pihak polis telah mengenal pasti beberapa individu yang memainkan peranan dalam kejadian diri dan mereka akan dipanggil untuk menjalani proses siasatan selanjutnya. 

Motif kejadian ini telah pun dikenalpasti dan kertas siasatan masih dalam proses untuk dilengkapkan sepenuhnya.

Siasatan ke atas kes pegawai Bomba yang diserang pada malam 27 November 2018 juga telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan cubaan membunuh. 

Beberapa rakaman video telah diperolehi dan sedang dianalisa bagi mengenal pasti individu-individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Pihak polis juga telah mengenalpasti anggota anggota bomba yang berada di tempat kejadian untuk dirakamkan percakapan mereka.

Selain itu, beberapa kertas siasatan lain telah dibuka antara kesalahan-kesalahan yang sedang disiasat ialah kesalahan di bawah: 

1. Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

2. Seksyen 148 Kanun keseksaan iaitu melakukan rusuhan bersenjata.

3. Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata. 

4. Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan kawasan

5 Seksyen 661 Kanun Keseksaan Akta bahan-bahan kakisan dan letupan dan senjata berbahaya 1958 iaitu memiliki senjata berbahaya

6. Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu Mendatangkan Khianat 

7. Seksyen 124 Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang boleh menimbulkan apa-apa pelanggaran keamanan.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan secara profesional dengan menggunakan kaedah siasatan forensik dan saintifik sepenuhnya. 

Bagi tujuan ini satu pasukan khas dari makmal forensik Bukit Aman telah pun ditempatkan di Kontinjen Selangor bagi membantu siasatan.

Pihak polis juga Amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan, termasuklah siasatan ke atas berita-berita viral bagi membantu siasatan kes di samping membuat pengesahan ke atas fakta yang dikemukakan.

Insiden pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield, tiada kaitan langsung dengan isu perkauman.

Ia adalah satu kejadian jenayah yang berpunca daripada pertikaian di antara syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd dan jawatankuasa kuil, berhubung status pemilikan tanah tapak kuil.

Agak malang kerana tindakan pihak tertentu yang mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh dan mengosongkan kuil pada malam kejadian telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu.

Angkara tindakan tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang inilah wujudnya keresahan dan prasangka dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita. 

Di samping itu kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu juga telah mengeruhkan keadaan.

Post a Comment

0 Comments