Petua hilangkan batuk yang sudah berlarutan

SETIAP orang tentu pernah mengalami batuk, pelbagai petua dan kaedah rawatan, baik tradisional mahupun moden, boleh diikhtiarkan untuk menyembuhkannya.

Namun sekiranya anda menghidapi batuk sampai bertahun-tahun lamanya, pelbagai jenis rawatan sudah diusahakan, pelbagai jenis ubat dari farmasi sudah ditelan, ke hospital sudah, ke klinik pun sudah, namun penyakit batuk, sama ada batuk kering mahupun batuk berkahak yang dihidapi masih tak sembuh, maka anda perlu untuk mencari rawatan alternatif bagi mengubatinya.

Petua Hilangkan Batuk

Saya pun dulu pernah menghidap batuk hampir setahun lamanya, masa itu saya belajar di matrikulasi, seringkali saya jadi tumpuan kawan-kawan sekelas kerana mengganggu.

Pensyarah pun berulang kali tegur suruh cari ubat dan dapatkan rawatan kerana setiap kali batuk saya akan menggangu proses pembelajaran di dalam kelas, sampaikan kawan-kawan tak dengar apa yang disampaikan oleh pensyarah di depan.

Salah seorang ustaz yang saya temui memberikan petua berkesan menggunakan bunga cengkih untuk merawat penyakit batuk berlarutan yang dihidapi.

Petua hilangkan batuk dengan bunga cengkih

Caranya adalah dengan menumbuk sebanyak kira-kira 20 biji bunga cengkih, sehingga lumat. Kemudian masukkan ke dalam kain bersih dan dibungkus seperti 'sup bunjut'

Selepas itu ambil secawan air panas, tak perlu terlalu panas kira-kira sekitar 40°C (boleh juga kita kata air suam).

Masukkan atau rendam 'bunjut cengkih' tadi ke dalam air suam. Biarkan selama kira-kira 20 minit dan biarkan sejuk, sebelum diminum airnya setiap kali batuk.

Selepas minum, letakkan tangan di dada, dan baca sepotong ayat ringkas yang diambil dari Al-Quran iaitu Surah Yunus ayat 57

"Wasyifaa ullimaa Fishsyudur,"

yang bermaksud,

"Penyembuh bagi penyakit-penyakit di dalam dada,"

Air cengkih ini menurut pemahaman saya boleh melegakan tekak dan menghilangkan rasa ingin batuk.

Cubalah semoga berhasil dan memberi manfaat kepada semua.

Post a Comment

0 Comments