Jutaan buah kelapa tempatan terbiar tiada pembeli

JUTAAN buah kelapa (kelapa biji) tempatan dilapor terbiar di ladang-ladang dan kilang di negara ini, disebabkan kelapa import dari negara-negara jiran lebih digemari oleh rakyat Malaysia kerana harganya yang lebih murah.

Kelapa siap kopek

Perkara itu menimbulkan keresahan pembekal buah kelapa tempatan kerana mereka perlu menghabiskan longgokan stok yang disimpan sebelum ia menjadi busuk atau mula bercambah.

Seorang pembekal, A. Anbarasan, 64 berkata, ini merupakan kali pertama perkara seperti itu berlaku sejak dia mengusahakan perniagaan itu 27 tahun yang lalu lapor The Star.

"Jualan kelapa jatuh lebih tiga kali ganda tahun ini sahaja,"

"Selalu saya boleh edarkan secara purata 350,000 biji buah kelapa dalam sebulan, tapi sekarang saya cuma boleh jual antara 100,000 hingga 120,000 biji kelapa sebulan sejak bulan April,"

"Di Perak sahaja, saya ada 70,000 biji kelapa yang telah dikupas disimpan di Setiawan, dan lebih kurang 300,000 biji kelapa belum dikupas di ladang terletak di Bagan Datuk," katanya.

Anbarasan yang juga menjual kelapa segar menerusi dua buah kedai di Jalan Penaga dan Jalan Abu Siti Pulau Pinang, percaya pasaran telah dibanjiri dengan kelapa-kelapa murah dari Indonesia dan Thailand mengakibatkan lebihan bekalan dalam pasaran tempatan.

"Ladang-ladang kita menghasilkan cukup kelapa untuk pengguna. Namun disebabkan kelapa tempatan mempunyai kualiti lebih baik, harganya lebih mahal. Para pengguna hanya mahu harga kelapa yang lebih murah," katanya.

Kata Anbarasan, harga pasaran kelapa Malaysia di antara RM1.20 dan RM1.50 sebiji, tapi harga kelapa dari Indonesia harganya serendah RM0.80 hingga RM1.00 sebiji.

"Jika anda import kelapa-kelapa dari Indonesia, 1 tan atau lebih kurang 1,000 biji kelapa harganya hanyalah RM550 atau RM0.55 sebiji," jelasnya.

Isteri Anbarasan, P. Sarasvathy, 60 yang membantu suaminya menjual air kelapa di Lorong Abu Siti berkata, air kelapa tempatan lebih wangi dan teksturnya lebih berkrim.

"Santan kelapa tempatan kami boleh dijual pada harga RM9 sekilogram, tapi santan dari Indonesia harganya hanya RM5 sekilogram kerana kualitinya teruk,"

"Namun kelapa kelapa dari Indonesia selalunya mempunyai saiz lebih besar,"

"Saya pernah cuba memesan satu tan kelapa Indonesia sebelum ini, separuh dari kelapa yang dipesan rosak kerana tidak segar. Santan kelapa nya juga lebih berair," katanya.

Pasangan itu menggesa kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu berkenaan secara serius dan menghentikan import kelapa dari negara jiran bagi menyelamatkan industri kelapa tempatan.

Masalah itu turut dihadapi oleh seorang lagi pengusaha kelapa, A Loganathan, 49 di Lorong Selamat.

"Saya ada lebih 200,000 biji kelapa di atas pokok, hanya tunggu lagi sebulan untuk dipetik,"

"Susah untuk jual kelapa sekarang. Sekali ia bercambah, kelapa tidak boleh dijual untuk mendapatkan santan, hanya boleh digunakan untuk hasilkan minyak," kata Loganathan, tambahnya kelapa itu sengaja tidak dipetik bagi mengekalkan kesegarannya.

Loganathan yang telah berkecimpung di dalam perniagaan itu sejak 25 tahun lalu, berkata dia kecewa kerana ramai pembeli lebih menggemari kelapa Indonesia.

"Kualiti kelapa kelapa dari Indonesia sangat teruk, tapi orang nampaknya tak kisah sebab harganya lebih murah,"

"Jika kamu pergi ke pasar, kamu boleh lihat kelapa tempatan jauh lebih baik dan lebih banyak santan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan