Ibu dan anak orang utan tersesat, kena seksa dengan orang kampung

GARA-GARA habitatnya sudah terancam dan sebahagian besar kini berubah menjadi kebun kelapa sawit, seekor ibu orang utan di Kalimantan bersama anaknya yang kelaparan berjalan keluar dari hutan untuk mencari makanan.

Dalam keadaan lapar, si ibu tidak sedar sudah berjalan terlalu jauh sehingga sampai ke kawasan perkampungan manusia. Nalurinya tidak lain hanya mahu mencari makanan untuk puterinya.



Namun apabila terserempak segelintir penduduk desa yang melihat kehadiran dua ekor makhluk anak beranak itu, nampaknya mereka tidak dianggap sebagai kawan, sebaliknya dilayan seperti tetamu tidak diundang sekaligus mencetuskan peristiwa yang mengerikan.

Orang kampung seksa orang utan

Penduduk kampung pada awalnya dikatakan bertindak membaling batu bertubi-tubi ke arah kedua-dua haiwan malang itu. Sang ibu yang dalam kelaparan itu hanya mampu bertahan sambil memeluk puterinya, sebelum satu pukulan batang kayu hinggap mengakibatkan ibu orang utan itu longlai tidak berdaya.

Orang kampung berusaha merebut anak orang utan itu dari pelukan ibunya. Si ibu meskipun dalam keadaan lemah tidak berdaya masih terus memeluk erat dan mempertahankan anaknya, sebelum akhirnya si ibu terkulai akibat dipukul terus menerus.

Anaknya terlepas dari pelukan, manakala si ibu kemudian diikat dan diseret oleh beberapa lelaki seterusnya ditenggelamkan dalam sebatang sungai. Setelah puas cuba dilemaskan, baru lah ibu orang utan itu diangkat dari sungai. Keadaannya masih hidup, tetapi semakin lemah tidak berdaya.

Namun nampaknya penderitaan si ibu orang utan yang menanggung penderaan itu masih belum berakhir. Dalam keadaan longlai, ia tetap diikat bersama dengan puterinya yang terjerit-jerit dan meraung ketakutan sebelum dimasukkan ke dalam kandang.



Entah apa yang ada di dalam fikiran manusia-manusia ini. Dua haiwan yang tidak berdaya ini dijadikan tontonan sedemikian rupa. Anak orang utan itu terus menjerit-jerit ketakutan, sambil merapatkan badan ke tubuh ibunya.

Si ibu pula sangat lemah, beberapa ketika sempat membuka mata berusaha memeluk puterinya, saling tak tumpah seperti seorang ibu manusia mahu menenangkan anak yang sedang dalam ketakutan.

Dalam keadaan lapar, dipukul dan dilemaskan di dalam sungai, akhirnya ajal menjemput ibu orang utan itu. Apa yang lebih menyedihkan, puterinya yang kecil itu terus memeluk ibunya, tanpa menyedari bahawa tubuh yang terdiam dan terbujur kaku itu, sudah tidak mampu membalas pelukannya lagi buat selamanya.

Kisah ini diadaptasi dari kisah yang dikongsikan 3 hari lalu oleh Christian Joshuapale salah seorang aktivis pencinta haiwan dari Indonesia menerusi akaun instagram.


Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan