Pesawat MASwings terpaksa terbang tanpa penumpang, rugi RM1.4 juta sebulan

PESAWAT ATR500s milik MASwings dipaksa terbang sejak 1 Januari lalu di laluan Kota Kinabalu-Sandakan sebanyak 4 kali sehari, namun tanpa sebarang penumpang kecuali anak kapal lapor Daily Express.



MASwings ATR500s

Menurut portal itu, sejumlah 240 tempat duduk yang tidak diisi (ATR500s boleh menempatkan 60 orang) jika dikira berdasarkan kadar semasa AirAsia, pada harga tambang RM195 (mengambil harga tempahan 3 penerbangan bulan Februari sebagai penanda aras), telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM46,800 sehari atau RM1.4 juta sebulan dan ia bergantung kepada berapa lama keadaan ini terus dibiarkan berlaku.

Maklumat itu diterima daripada orang awam yang tidak dibenarkan menaiki penerbangan itu yang berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 8.20 pagi dan 3.15 petang setiap hari.

Pesawat ATR ini kemudiannya akan meneruskan penerbangan hanya di kawasan Sandakan-Tawau sebelum kembali semula ke Kota Kinabalu tanpa penumpang.

Mereka menganggap aturan jadual penerbangan itu sebagai "bodoh".

"Sebaliknya mereka (kerajaan baru) mengatakan mahu mengurangkan kos. Saya mahu Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan yang baru jelaskan mengapa mereka benarkan wang dan sumber pembayar cukai dibazirkan seperti ini." kata salah seorang pelancong yang tidak berpuas hati dan terpaksa mengambil penerbangan alternatif ke Sandakan.

"Saya dapati ia tidak masuk akal kerana pesawat itu ada di lapangan terbang namun tidak ada seorang penumpang pun dibenarkan naik ketika berlepas ke Sandakan," kata salah seorang daripada mereka.



Apa yang lebih membingungkan apabila penumpang dibenar menaiki pesawat itu ketika tiba di Sandakan dalam perjalanan ke Tawau.

Daily Express memetik kenyataan salah seorang jurucakap MASwings yang berkata di bawah perjanjian baru, mereka tidak lagi diberikan hak untuk beroperasi "lapan laluan" di dalam dan merentasi Sabah dan Sarawak sejak 1 januari.

"Ini melibatkan laluan dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan sebaliknya dan Kota Kinabalu ke Tawau dan sebaliknya,"

"Lapan laluan ini telah dibuang dalam perjanjian baru kerana ia tidak lagi jatuh di bawah definisi (Tanggung jawab perkhidmatan awam) PSO 2019, dalam Akta Suruhanjaya penerbangan Malaysia (MAVCOM). Lapan laluan ini sekarang diambil oleh syarikat penerbangan komersial lain seperti Malaysia Airlines dan AirAsia," katanya.

Bagaimanapun katanya, MASwings akan terus menyediakan perkhidmatan bagi laluan Sandakan ke Tawau dan sebaliknya dalam jadual harian, yang mana disenaraikan di antara 39 laluan yang tercatat di dalam perjanjian baru.



"Bagi membolehkan kami melaksanakan tanggungjawab ini, kami terpaksa melakukan 'ferry service,' dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan sebaliknya."

"Dalam 'ferry service' ini, kami tidak dibenarkan menjual, dan membawa penumpang komersial kecuali juru teknikal dan krew kabin sahaja sahaja seperti yang termaktub dalam MAVCOM dan MOT,"

"Malah kakitangan kami sendiri pun tidak dibenarkan untuk menaiki penerbangan berkenaan kerana ia dikawal ketat hanya untuk juruterbang dan kru kabin sahaja," tambahnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan