Tun Mahathir jawab mengapa benarkan Israel masuk Malaysia tahun 1997

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sekali lagi mempertahankan pendirian Putrajaya mengharamkan kemasukan atlet Israel untuk mengambil bahagian dalam acara sukan di Malaysia.

Kata Tun Mahathir, pendiriannya berhubung konflik Palestin tidak pernah berubah meskipun pernah membenarkan atlet Israel masuk ke negara ini dua dekad yang lalu (tahun 1997).



Mahathir jawab wartawan

Ketika ditanya mengapa pentadbirannya dalam tahun 1997 membenarkan pasukan kriket Israel mengambil bahagian dalam satu acara antarabangsa di Kuala Lumpur, katanya pada masa itu beliau mahu menunjukkan bahawa orang Islam bukanlah pengganas.

"Kita adalah manusia biasa, kita bercakap dengan manusia. Kita berkelakuan baik," katanya kepada wartawan.

"Kita tak buat apa-apa kepada mereka. Tapi bila kanak-kanak baling batu kepada mereka, mereka tembak dengan peluru," katanya.

Tun Mahathir turut ditanya sekiranya beliau akan turut menyekat atlet dari Myanmar dan China berhubung tindakan kerajaan mereka terhadap kaum minoriti Muslim di sana dan juga Arab Saudi berhubung serangan negara itu terhadap Yaman.

"Kita (bertindak) berdasarkan fakta, apabila kita sahkan fakta-fakta itu, kita akan nyatakan pendirian," jawab Tun Mahathir.

Jawatankuasa paralimpik antarabangsa (IPC) semalam mengumum kan bahawa badan itu menarik balik kelayakan Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Sarawak pada bulan Julai.

Tindakan itu susulan rayuan Israel untuk mengubah tempat pertandingan sekiranya Malaysia menolak untuk menarik balik larangan terhadap atletnya.

"Apabila sebuah negara tuan rumah mengecualikan atlet-atlet dari negara tertentu, atas sebab alasan politik, maka kita tentu sekali tiada pilihan kecuali untuk mencari sebuah negara penganjur kejohanan yang baru," kata Presiden IPC, Andrew Parsons di London.

Kata Mahathir, mereka yang tidak gembira dengan larangan negara ini bebas untuk melucutkan hak Malaysia terhadap kejohanan renang berkenaan.

"Jika mereka nak batal, batalkanlah. Kami boleh anjurkan sukan-sukan lain," katanya, beliau turut mempersoalkan, mengapa dunia begitu tunduk kepada Israel.

Beliau menggelarkan Israel sebagai sebuah "negara penjenayah" yang telah melanggar undang-undang antarabangsa namun tiada sesiapa pun bersuara.

Disebabkan perkara itu, Putrajaya membuat pendirian untuk mengharamkan atlet-atlet Israel dari mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa yang dianjurkan oleh Malaysia.

"Kami berpegang kepada prinsip kami, Kami ada hak untuk menyuarakan perasaan,"

"Dan kami ada dasar kami sendiri," katanya.

Mahathir turut mempersoalkan tindakan Amerika Syarikat yang telah menyekat rakyat dari lima negara-negara Islam, iaitu Syria, Iran, Yaman, Somalia, dan Libya daripada memasuki negara berkenaan.

"Kita ada sebab. Ia (Israel) sebuah negara yang tidak mematuhi undang-undang antarabangsa. Dan kami perlu berpegang kepada prinsip kami," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan