SPRM tahan hakim mahkamah seksyen berhubung kes bebaskan pendatang haram

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini dilaporkan menahan seorang hakim mahkamah seksyen di Selangor bagi membantu siasatan berhubung satu kes pembebasan pendatang haram.

Latheefa Koya

Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya mengesahkan penahanan itu, katanya hakim berkenaan telah ditahan petang tadi bagi membantu siasatan berhubung satu kes penahanan pendatang-pendatang asing yang telah dibebaskan selepas membuat pembayaran.

Katanya lagi, penahanan itu juga berkaitan dengan penahanan terbaru seorang peguam dan seorang timbalan pendakwa raya (DPP) serta beberapa orang anggota polis.

"Sejumlah wang tunai juga dirampas semasa penahanan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Perintah reman terhadap peguam dan DPP berkenaan sebelum ini dilaporkan telah dilanjutkan selama dua hari sehingga esok.

Timbalan Ketua pengarah SPRM (bahagian operasi) Datuk Seri Azam Baki berkata, enam anggota polis yang ditahan berhubung siasatan itu telah dibebaskan hari ini.

Minggu lalu enam anggota polis dari ibu pejabat Polis daerah Hulu Selangor juga seorang peguam dan DPP telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

DSP Azman Ab Rahman, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor ketika dihubungi mengesahkan penahanan anggota polis tersebut, katanya kesemua mereka telah ditahan pada hari rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung pembebasan 15 orang tahanan warga asing.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan