Masih ramai tidak peduli larangan merokok di restoran dan premis makanan seluruh negara

MASIH ramai individu yang enggan patuh dengan larangan merokok di restoran pada hari pertama penguatkuasaan penuh dijalankan seluruh negara semalam lapor The Malaysian Insight.

Malah ramai mendakwa mereka tidak tahu tentang larangan itu meskipun penguatkuasaan larangan berbentuk pendidikan telah dijalankan sejak 12 bulan yang lalu.

Tanda Larangan Merokok

Di bawah penguatkuasaan itu, mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk semua tempat tempat menjual makanan boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM250.

Di ibu negara, empat notis kompaun telah dikeluarkan ketika operasi penguatkuasaan di tiga lokasi semalam.

Pegawai kanan kesihatan alam sekitar, Nordayana Musa yang mengetuai operasi itu di bandar berkata, segelintir perokok merayu agar jangan dikenakan denda sebaliknya meminta dikeluarkan satu amaran dengan alasan mereka tidak sedar tentang penguatkuasaan larangan merokok.

Di Pahang pula, sejumlah 51 individu menjadi kumpulan pertama dikenakan tindakan saman kerana tidak mematuhi larangan merokok di seluruh negeri itu setakat jam 2 petang semalam.

Pengarah kesihatan negeri, Dr Sha'ari Ngadiman berkata notis-notis kompaun juga telah dikeluarkan kepada empat premis menjual makanan kerana membenarkan pelanggan mereka merokok dan gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

"Setakat ini, 656 kedai makan telah diperiksa dan kami akan meneruskan operasi ini sehingga tengah malam hari ini (semalam), dengan sasaran utama di medan selera dan restoran 24 jam," katanya.

Di Negeri Sembilan, tindakan serentak yang dijalankan oleh seramai 95 pegawai penguatkuasa dari tujuh Pejabat kesihatan daerah seluruh negeri merekodkan 42 notis dikeluarkan menerusi pemeriksaan terhadap 379 premis-premis makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainuddin Mohd Ali berkata tujuh notis telah dikeluarkan kepada pemilik kedai makan kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok, sementara lapan yang lain gagal melarang aktiviti merokok di premis-premis mereka.

Di Perak, lima premis makanan di Jelapang, Ipoh telah diperiksa dalam operasi selama dua jam bermula jam 10 pagi melibatkan sejumlah 16 pegawai dari Pejabat kesihatan Kinta.

Bagaimanapun tiada denda yang dikeluarkan.

Sementara itu di Kelantan, Bernama melaporkan hasil pinjaman kedai-kedai makanan terutama di kawasan kampung, sumber berita itu mendapati masih terdapat individu yang langsung tidak mengendahkan penguatkuasaan larangan merokok itu.

Di Selangor pula, 64 notis kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Selangor setakat jam 3 petang semalam.

Menurut pengarahnya, Dr Khalid Ibrahim, 51 individu dikenakan denda kerana merokok di kedai-kedai makan, sementara lima pemilik restoran dikenakan denda kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok di premis mereka.

Menurutnya sejumlah 111 anggota JKNS terlibat dalam operasi yang bermula pada jam 10 pagi dan dijangka akan tamat pada tengah malam.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan