Pendirian Raja-raja terhadap permohonan darurat oleh Muhyiddin

RAJA-RAJA berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.


Kenyataan itu dikeluarkan menerusi satu kenyataan media yang telah mendapat titah perkenan Raja-raja, oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad.

Lihat kenyataan di bawah ini, tulisan "membatasi" ditulis menggunakan dakwat merah bagi memberikan penekanan terhadap maksud perkataan itu.

Raja-raja Melayu

"Raja-raja turut menegaskan pentingnya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang, dan mengutamakan kebajikan Rakyat jelata," tulis kenyataan itu lagi.

Raja-raja telah mengadakan perjumpaan bersama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah pada hari ahad 25 Oktober 2020, di Istana Negara Kuala Lumpur.


Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong telah memaklumkan kepada raja-raja akan keputusan mesyuarat jemaah menteri yang bersidang pada 23 Oktober 2020 bagi memohon perkenan baginda untuk mengistiharkan darurat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Malaysia.

Perjumpaan itu bagi memahami keseriusan implikasi pengisytiharan darurat terhadap imej negara, pandangan dunia antarabangsa, keyakinan para pelabur dari luar dan dalam negara, serta aspek kemakmuran negara dan kehidupan rakyat jelata berpandukan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Dalam perjumpaan tersebut raja-raja telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dengan semangat saling menghormati agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan membantu baginda membuat ketetapan.


Raja-raja turut menzahirkan penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong atas sifat baginda memilih melakukan rundingan dan konsultasi sebelum memberikan sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa keputusan menyentuh perkara yang sangat penting.

Semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan