NASA sahkan temui air dan ais di bulan

KAJIAN terbaru Agensi Angkasa Amerika Syarikat, NASA mendapati permukaan bulan bukan sahaja mengandungi air, malah penyelidik percaya terdapat ais di kawasan yang boleh dilihat sebagai kawah pada permukaan satelit bumi itu.


Hasil penyelidikan itu diterbitkan pada hari Isnin dalam jurnal Nature Astronomy

Kajian itu sekaligus mengesahkan teori yang dipercayai selama ini tentang kewujudan air di bulan yang mungkin pada suatu hari nanti membolehkan angkasawan untuk tinggal di sana untuk jangka masa yang lama.

Sepasukan penyelidik telah menemui tanda-tanda kewujudan molekul air, yang mana barangkali melekat pada kaca di kawasan bulan yang diterangi oleh matahari. 


Satu lagi kumpulan pula percaya bahawa taburan lubang-lubang hitam di permukaan bulan berkemungkinan melindungi ais yang terbentuk daripada air meliputi kawasan seluas 15 ribu batu persegi.

Bulan

Kehadiran air itu dilihat berpotensi untuk dijadikan sumber kelangsungan hidup bagi angkasawan yang bakal dihantar lagi ke bulan, tambahan pula penghantaran air ke angkasa memerlukan belanja besar iaitu ribuan USD untuk setiap liter.

Pada tahun 2019 NASA telah mencipta satu program yang diberi nama Artemis bertujuan untuk menghantar angkasawan Amerika kembali ke bulan dalam dekad ini.

Berdasarkan penemuan terbaru ini, para penjelajah angkasa masa hadapan diharapkan dapat menggunakan air di bulan bukan sahaja untuk menghilangkan dahaga malah boleh dijadikan sumber bahan api roket.

Sebelum ini para penyelidik percaya permukaan bulan terdiri daripada kawasan yang tandus dan kering. Ahli Astronomi sekitar tahun 1800 menyakini bahawa bulan tidak mengandungi air kerana mereka tidak dapat melihat sebarang kewujudan tasik ataupun awan menerusi teleskop.


Kepercayaan itu diperkuatkan lagi dengan permukaan bulan yang berdebu dilihat dan dirasai hanya menerusi but yang dipakai oleh angkasawan Apollo separuh abad yang lalu.

Soviet mungkin telah berjaya mengesan kehadiran air di bulan namun kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Soviet tahun 1978 hampir langsung tidak dipedulikan oleh para penyelidik.

Namun dalam tahun 2000, kajian teliti yang dijalankan terhadap sampel-sampel bulan dan pemerhatian kapal angkasa membantu mengubah teori ia sebagai kawasan kering dan tandus.

Pada tahun 2018, para penyelidik telah menemui mendakan ais pada kutub-kutub bulan pada kawasan yang tidak dilawati oleh angkasawan Apollo. Kutub selatan bulan dipercayai mempunyai takungan dalam bentuk ais ataupun molekul, namun tidak dalam bentuk cecair.

Kapal angkasa seperti Chandrayaan-1, yang  menggunakan perkakas NASA untuk memetakan bahan mineral dan kandungan lain di bulan, telah berjaya mengesan sebatian hidrogen dan oksigen, iaitu juzuk atom asas pembentukan molekul air.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan