Semua sekolah seluruh Malaysia ditutup mulai 9 November 2020

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di bawah KPM di negeri-negeri terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri kumpulan A, dan 18 Disember 2020 bagi negeri kumpulan B.


Penutupan ini melibatkan 74 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di bawah KPM. Oleh yang demikian KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah bagi Negeri Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak akan turut ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga hari akhir persekolahan tahun ini pada 17 Disember 2020 bagi negeri kumpulan A, 18 Disember 2020 bagi negeri kumpulan B.

Radzi Jidin

Langkah ini diambil bagi membantu kerajaan memutuskan rangkaian jangkitan covid 19. Sepanjang penutupan tersebut pengajaran dan pembelajaran sekolah akan tetap dijalankan secara "home base learning" mengikut kesesuaian guru dan murid.

Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan  pengajaran dan pembelajaran di rumah. Sepanjang tempoh ini juga guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing. Bagi murid yang tinggal di asrama pula, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.


Walau bagaimanapun murid boleh terus kekal di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga. Di sepanjang tempoh tersebut murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama.

Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan turut disediakan oleh pihak sekolah. 

Sepertimana takwim penggal dan cuti persekolahan tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021 semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut.


Bagi murid sekolah menengah pula, tingkatan 1, tingkatan 4, tingkatan 5, dan tingkatan 6 serta murid sekolah vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.

Manakala murid tingkatan 2 dan tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara "Home Base Learning" mengikut kesesuaian guru dan murid.

Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021. 

Sumber — Sidang Media Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin jam 11:30 pagi pada 8 November 2020.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan