15% rakyat Malaysia hidap sakit buah pinggang tapi majoriti tak sedar

PENGARAH Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan statistik pesakit buah pinggang 2020 dan hasil kajian mendapati sejumlah 15 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik.



Katanya tinjauan menunjukkan 15 peratus populasi negara ini mengalami sakit buah pinggang kronik pada pelbagai peringkat.

Dr Noor Hisham

"Apa yang lebih membimbangkan ialah majoriti pesakit-pesakit ini tidak sedar bahawa mereka mengalami kegagalan buah pinggang," katanya.

Menurutnya ini kerana simptom-simptom yang berkaitan dengan penyakit itu tidak begitu jelas ketika peringkat awal penyakit dan simptom itu hanya jelas kelihatan ketika penyakit itu pada tahap kritikal.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan ketika majlis meluncurkan laman sesawang MyBuahPinggang hari ini.


Beliau menyampaikan ucapannya secara maya dalam majlis itu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Laman sesawang mybuangpinggang.com telah dibangunkan oleh MedTweetMy dengan kerjasama perkhidmatan ahli nefrologi kementerian, Pertubuhan Nefrologi Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), Universiti Putra Malaysia dan AstraZeneca kata Noor Hisham merupakan sebuah pusat sehenti bersepadu (one stop centre) untuk orang ramai dan pesakit-pesakit buah pinggang.

Laman sesawang itu menyediakan informasi untuk menjaga buah pinggang dan rawatan rawatan yang boleh didapati bagi mereka yang mengalami kegagalan ginjal.

"Saya difahamkan maklumat yang terdapat dalam WhatsApp itu akan dilanjutkan kepada topik-topik yang lebih besar, termasuk pesakit-pesakit pra dialisis dan pendidikan melibatkan diabetes,"

"Kementerian berharap laman sesawang itu akan meningkatkan kesedaran, dan mendidik orang ramai dan seterusnya membantu mengurangkan jumlah rakyat yang menderita kegagalan buah pinggang di masa hadapan," katanya.

Katanya tanggungjawab menjaga kesihatan rakyat bukan sahaja menjadi tugas doktor jururawat dan kementerian, tetapi juga tanggungjawab bersama melibatkan orang awam.


Ketua perkhidmatan nefrologi kementerian itu, Datuk Dr Ong Loke Meng berkata penyakit buah pinggang jika tidak dikesan awal, akan menimbulkan masalah sosial dan kewangan dalam masyarakat.

"Kami harap laman sesawang itu akan membantu mendidik orang awam tentang penyakit tersebut," katanya.

Pengarah Yayasan Buah Pinggang Nasional, Datuk Dr Zaki Morad Mohamad Zaher pula berkata, website itu akan membantu yayasan itu untuk memberi capaian dan mendidik kepada orang awam terhadap informasi yang sah meliputi penyakit buah pinggang dan rawatannya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan