Akhbar Sabah Times pula gulung tikar

SELEPAS lebih enam dekad bertapak sebagai akhbar paling tua di negeri Sabah, New Sabah Times dilaporkan akan mencetak edisi terakhirnya esok (31 Disember 2020) sebelum menghentikan operasi.



Difahamkan penurunan drastik terhadap pengedaran akhbar serta kurangnya pendapatan daripada iklan merupakan punca utama akhbar itu terpaksa 'gulung tikar'.

Sabah Times

New Sabah Times sebenarnya dijadualkan untuk menutup operasi pada 20 Disember lalu, namun syarikat berkenaan memutuskan untuk menyelesaikan baki percetakan sebelum menutup perniagaan mulai esok.

Editor Bahasa Melayu akhbar itu, Amin Muin memaklumkan kakitangan akhbar akan ditawarkan bayaran tiga bulan gaji tanpa sebarang pampasan susulan pemberhentian operasi.

Datuk Muguntan Vanar, salah seorang wartawan akhbar itu sejak tahun 1988 sehingga 1993 berkata, akhbar itu selama ini menjadi tapak latihan ramai wartawan dari Sabah.

Katanya masalah yang dihadapi oleh Sabah Times merupakan masalah global yang dihadapi oleh banyak akhbar tempatan dan seluruh dunia disebabkan oleh cabaran media sosial.


Akhbar itu diasaskan pada tahun 1949 sebagai Kinabalu Times, sebelum ditukar nama kepada Sabah Times, oleh Tun Muhammad Fuad Stephens yang ketika itu bertugas sebagai salah seorang wartawan dalam North Borneo News, sebuah akhbar mingguan yang berpengkalan di Sandakan sebelum menjadi ketua menteri pertama negeri itu pada tahun 1963 selepas pembentukan Malaysia.

Sabah Times kali pertama ditutup pada 24 Mac 1995 sebelum dihidupkan semula pada 8 Mac 1968 susulan diambil alih oleh syarikat penerbitan Inna Kinabalu Sdn Bhd.

Seorang lagi bekas kakitangan, Joseph Joswan Bingkasan, 65 berkata Sabah Times tempat beliau belajar untuk menjadi seorang pemberita.

"Saya pernah menjadi seorang wartawan bersama sabahtimes, di bawah bekas ketua editor Hugh Mabbett, seorang warga Australia pada lewat tahun 70-an. Penerbitan Sabah time pernah digantung beberapa kali, namun kembali diedarkan semula.

Katanya jenama Sabah Times sudah melekat di hati isi rumah rakyat Sabah. Malah rakyat Sabah menyebut "Sabah Times" bagi merujuk semua surat khabar kerana sudah terbiasa dengan jenamanya.

"Sabah Times akan dirindui, tapi saya percaya ia akan dihidupkan semula dan diterbitkan lagi," kata Bingkasan yang kini merupakan editor berita di New Straits Times.


Mengimbau kembali pengalaman bersama Sabah Times, menurut Bingkasan beliau terpaksa menulis laporan dan mengedit berita-berita untuk ruangan bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan kadazan akibat kekurangan kakitangan.

Katanya oleh kerana beban tugas yang banyak, beliau sering tidur di atas meja kerana sudah terlalu lewat untuk pulang ke rumah.

Dengan penutupan New Sabah Times, kini hanya akhbar-akhbar berbahasa Inggeris seperti Daily Express dan Borneo Post yang masih bertahan di Negeri Sabah.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan