Kisah Abagnale penjenayah paling licik akhirnya bekerja untuk FBI

JIKA anda pernah menonton sebuah filem barat bertajuk "Catch me if you can," lakonan bintang filem terkenal Leonardo DiCaprio, kisah itu sebenarnya mendapat inspirasi daripada sebuah kisah sebenar seorang penjenayah licik tahun 60-an.



Penjenayah licik itu menggunakan pelbagai kaedah untuk menipu dan menyamar, sejak berumur belasan tahun namun akhirnya telah diambil bekerja untuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat.

Frank William Abagnale

Individu itu ialah Frank William Abagnale yang dilahirkan pada 27 April 1948. Ibunya berasal dari Perancis manakala bapanya dari Itali. Kedua ibu dan bapanya bercerai semasa Abagnale berusia 12 tahun.

Mangsa penipuan pertama Abagnale ialah ayahnya sendiri. Ketika itu dia telah diberikan kad kredit untuk membeli bahan api dan sebuah lori bagi membolehkannya melakukan kerja 'part-time' yang dijalankan.

Bagi mendapatkan wang dengan mudah, Abagnale telah mencipta kaedah licik menggunakan kad kredit untuk membeli tayar, bateri, dan pelbagai barang-barang berkaitan kenderaan sebelum meminta petugas di situ memberikannya wang selepas memulangkan semula barang-barang itu.

Akibat daripada perbuatan itu, ayahnya terpaksa menanggung bil berjumlah USD3,400.

Abagnale menjalankan pelbagai kegiatan jenayah penipuan dan penyamaran ketika berumur antara 16 hingga 21 tahun.


Semasa tempoh itu, Abagnale memalsukan lesen memandu supaya dirinya kelihatan 10 tahun lebih tua, dan seterusnya membuka akaun bank.

Abagnale telah mengeluarkan cek-cek peribadi bagi mendapatkan wang tunai daripada 'overdrawn account' namun kegiatan ini sangat terhad kerana akhirnya pihak bank akan memintanya melakukan pembayaran.

Jadi Abagnale telah membuka 'overdrawn account' dari bank-bank yang berbeza dan akhirnya dia turut menggunakan identiti baru untuk membuka akaun bank supaya dapat mengeluarkan lebih banyak wang tunai.

Bagi menghilangkan kecurigaan ketika mahu mengeluarkan duit menggunakan cek palsu, Abagnale menyamar sebagai seorang juruterbang. Dia telah memalsukan lesen juruterbang dan sebuah ID pekerja.

Fake Pilot ID Abagnale

Abagnale memperolehi pakaian seragam syarikat penerbangan Pan American World Airways (Pan Am) dengan cara menyakinkan syarikat itu bawa dia merupakan salah seorang juruterbang, namun pakaian seragamnya hilang ketika dibasuh di sebuah hotel.

Sepanjang menyamar sebagai seorang juruterbang, Abagnale dianggarkan telah terbang secara menumpang tanpa bayaran (deadheading) sejauh lebih 1,600,000 km dalam lebih 250 penerbangan ke 26 buah negara.

*** Dalam dunia penerbangan seorang juruterbang dibenarkan untuk menaiki pesawat yang diterbangkan oleh juruterbang lain kerana dia ditugaskan untuk menerbangkan pesawat di lokasi tertentu yang lain.

Ketika masih remaja, Abagnale mempunyai masalah di mana rambutnya cepat ditumbuhi uban. Dia menggunakan ini sebagai satu kelebihan, bagi menggambarkan dirinya kelihatan seperti seorang juruterbang yang lebih tua dan banyak berpengalaman.

Abagnale juga dapat tinggal di pelbagai hotel secara percuma di pelbagai buah negara, dan bil makan minumnya ditanggung oleh syarikat.

Namun dia tidak pernah sekalipun menerbangkan mana-mana pesawat Pan Am kerana dia percaya identitinya mungkin terbongkar jika juruterbang sebenar pesawat atau kakitangan berkaitan meminta kad identiti atau bukti jawatannya.


Namun menggunakan kaedah menyamar sebagai seorang juruterbang, Abagnale telah meneruskan penipuannya di pelbagai negara yang disinggahinya dan berjaya mengeluarkan lebih USD2.5 juta wang tunai menggunakan cek-cek palsu di 26 buah negara yang dilawatinya.

Tidak lama selepas berhenti bekerja sebagai seorang juruterbang, Abagnale telah berpindah ke Georgia, Amerika Syarikat dan menyamar sebagai seorang doktor pakar penyakit kanak-kanak (pediatrik). Namun dia akhirnya berhenti selepas hampir membunuh seorang bayi.

Ketika itu selama 11 bulan dia menyamar sebagai Ketua Pediatrik di sebuah hospital di Georgia menggunakan nama samaran Frank Williams. Abagnale menukar kerjaya sebagai seorang doktor selepas hampir ditangkap ketika menaiki pesawat di New Orleans.

Ketika mengisi borang untuk memasuki sebuah apartmen yang ingin disewa, Abagnale mengisi ruang pekerjaan sebagai seorang 'doktor' kerana bimbang tuan rumah akan memeriksa dengan Pan Am jika dia menulis kerjayanya sebagai seorang juruterbang.

Selepas berkawan dengan seorang doktor di apartmen itu, dia bersetuju untuk bertugas sebagai seorang 'supervisor' bagi memantau pelatih jururawat secara sukarela di hospital, sehingga pihak hospital mendapat pengganti baru untuk tugas berkenaan.

Namun tugas itu rupa-rupanya bukan sahaja memerlukan dirinya melakukan tugas-tugas pentadbiran, kerana para pelatih di bawah jagaannya mahukan lebih banyak pengalaman merawat pesakit.

Buat sementara waktu, Abagnale berjaya menyembunyikan identitinya dengan cara membiarkan sahaja para pelatih di bawah pemantauannya untuk menunjuk-nunjuk kebolehan mereka menguruskan pesakit bayi dan kanak-kanak.

Namun penipuannya hampir terbongkar apabila seorang bayi yang dirawat mereka tiba-tiba tenat akibat kekurangan oksigen dan Abagnale langsung tidak faham apabila seorang jururawat menyebutkan istilah "blue baby".


Selepas kejadian itu, dia sedar bahawa penyamarannya itu mungkin akan mendatangkan risiko apabila dia terpaksa berdepan dengan situasi nyawa bayi dalam keadaan kritikal. Justeru dia memutuskan untuk meninggalkan hospital berkenaan.

Abagnale kemudian meneruskan lagi kegiatan jenayah penyamarannya, untuk bekerja sebagai seorang peguam dengan mengaku kononnya mempunyai lulusan undang-undang dari Universiti Harvard.

Ketika menyamar sebagai seorang juruterbang sebelum ini, Abagnale telah memalsukan transkrip kononnya dia merupakan pelajar lepasan jurusan undang-undang dari Universiti Harvard dan telah lulus peperiksaan undang-undang Louisiana.

Dia telah memberitahu perkara itu kepada salah seorang pramugari yang ditemui sebelum ini. Pramugari itu telah memperkenalkan Abagnale dengan rakannya seorang peguam.

Peguam itu memaklumkan ada kekosongan jawatan peguam, kerana ramai peguam peguam baru diperlukan. Justeru dia menyuruh Abagnale memohon jawatan itu.

Selepas memalsukan transkrip dari Universiti Harvard, Abagnale menyiapkan dirinya untuk melalui peperiksaan wajib. Walaupun dia sebenarnya telah gagal sebanyak dua kali, Abagnale mendakwa dia telah berjaya lulus dalam peperiksaan itu untuk kali ketiga.

Namun ketika bertugas sebagai seorang peguam di pejabat guaman negeri, tugasnya ketika itu hanyalah sebagai "gopher boy" iaitu lebih kepada mengambilkan minuman dan buku-buku untuk majikan.

Namun dalam pejabat itu, ada seorang pekerja lelaki yang benar-benar merupakan pelajar lepasan Universiti Harvard. Lelaki itu sering bertanya tentang kisahnya sepanjang belajar di universiti berkenaan. 

Perkara itu mendatangkan masalah kepada Abagnale, kerana dia tidak mampu mencipta kisah yang meyakinkan kerana dia memang tidak pernah belajar di Harvard.

Lelaki itu merasa curiga dan terus menyiasat Abagnale berulang kali, malah turut menghubungi Universiti Harvard untuk mengesahkan kelayakan akademik yang dimiliki oleh Abagnale.


Selepas mendapati tiada data tentang Abagnale di Universiti Harvard, lelaki itu telah berjaya menyakinkan majikan untuk melakukan semakan dan siasatan latar belakang Abagnale, namun ketika itu Abagnale telah meletak jawatan sebelum identitinya terbongkar.

Abagnale sempat menjadi seorang peguam palsu selama lapan bulan sebelum meletak jawatan.

Ketika ditahan dalam tahun 1969, sejumlah 12 buah negara memohon ektradisi terhadapnya berhubung pelbagai kes penipuan di negara masing-masing.

Abagnale ditahan di Montellier, Perancis dalam tahun 1969 selepas seorang attendant pesawat Air France yang pernah bertemu dengannya sebelum ini membuat laporan polis.

Abagnale dijatuhkan hukuman penjara selama setahun di Penjara Perpignan, Perancis namun hukuman penjara dijalankan ke atasnya dikurangkan kepada enam bulan, sebelum dia diekstradisi ke Sweden.

Ketika dalam perbicaraan di Sweden, kesnya hampir sahaja digugurkan apabila pihak pembelaan mengutarakan hujah bahawa Abagnale tidak memalsukan cek, sebaliknya dia mencipta cek palsu justeru hakim terpaksa mengubah pendakwaan kepada tuduhan atas kesalahan menipu justeru dia hanya dikenakan hukuman penjara selama 6 bulan di Penjara Malmo sebelum diekstradisi pula ke Italy.

Namun hakim di Sweden meminta Amerika Syarikat membatalkan pasport milik Abagnale. Tanpa pas perjalanan yang sah pihak berkuasa Sweden terpaksa menghantarnya pulang ke Amerika Syarikat sebelum Abagnale dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Persekutuan AS atas pelbagai tuduhan berhubung jenayah pemalsuan.

Apa yang lebih menarik, sampaikan ketika ditahan dalam penjara pun, Abagnale masih meneruskan lagi kegiatan penyamarannya. Kali ini dia menyamar pula kononnya sebagai seorang anggota perisik. 

Tindakan itu membuatkan dia menerima layanan berbeza ketika berada di dalam tahanan.

Selama berada dalam tahanan penjara, Abagnale telah berjaya melarikan diri sebanyak dua kali sebelum ditahan semula oleh pihak berkuasa.


Dalam tahun 1974 selepas menjalani hukuman penjara tidak sampai 7 tahun dari jumlah hukuman 12 tahun yang dikenakan terhadapnya di Institut Pemulihan Persekutuan di Petersburg, Virginia, kerajaan persekutuan Amerika Syarikat telah membebaskannya dengan syarat di hendaklah membantu pihak berkuasa persekutuan, tanpa menerima bayaran untuk menyiasat jenayah penipuan dan perlu melapor diri setiap minggu.

Oleh kerana tidak mahu pulang kepada keluarganya di New York, Abagnale menyerahkan kepada mahkamah untuk menetapkan lokasi bagi dia menjalankan hukuman parol. Mahkamah menetapkan Abagnale menjalani hukuman parol di Houston, Texas.

Selepas dibebaskan dari penjara, Abagnale cuba menjalankan pelbagai tugas termasuk sebagai tukang masak, dan penjaga kedai namun dia akhirnya dipecat selepas diambil bekerja kerana tidak mendedahkan sejarah jenayah yang dilakukan sebelum ini.

Akhirnya Abagnale menawarkan kepakarannya kepada pihak bank, di mana dia menjelaskan apa yang pernah dilakukannya dan mendedahkan  pelbagai muslihat kepada kakitangan bank terhadap penipuan cek yang sering dilakukan terhadap institusi kewangan itu.

Akhirnya, Abagnale berjaya mendapatkan kerjaya yang halal dari segi undang-undang, sebagai seorang penasihat keselamatan kewangan.

Dalam tahun 2015, Abagnale dinamakan sebagai Duta Pemantau Penipuan AARP di mana dia membantu menyediakan program dan forum komuniti atas talian untuk mendidik pengguna melindungi diri mereka daripada kecurian identiti dan jenayah siber.


Dia kemudiannya menubuhkan Abagnale & Associates yang berpengkalan di Tulsa, Oklahoma sebuah syarikat yang memberikan khidmat nasihat kepada syarikat-syarikat berhubung isu-isu penipuan.

Dalam masa yang sama, Abagnale terus memberi nasihat kepada FBI yang telah dilakukannya selama lebih 40 tahun, dengan memberi latihan di Akademi FBI dan pendidikan kepada kakitangan lapangan FBI di seluruh negara.

Difahamkan lebih 14,000 institusi telah menggunakan program-program pencegahan penipuan yang diasaskan oleh Abagnale.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan