Kesan pembuangan sisa domestik sangat memudaratkan apa perlu kita lakukan?

KETIKA negara berdepan dengan pendemik Covid-19, perintah kawalan pergerakan (PKP) terpaksa dilakukan bagi memutuskan rangkaian jangkitan wabak pembawa maut itu.



Namun perlaksanaan yang baik itu datang dengan risiko tertentu. Antaranya peningkatan ketara pembuangan sisa domestik di kawasan kediaman seluruh negara.

Kesan Sisa pembuangan domestik

Antara kesan ketara PKP ialah berlakunya peningkatan pembelian barang makanan terutama keperluan asas seperti ayam, telur, minyak masak, tepung gandum, dan gula.

Beberapa kajian menunjukkan berlaku pembelian panik di kalangan sebahagian rakyat Malaysia menjelang arahan perintah kawalan pergerakan pada 17 Mei lalu.

Banyak kedai runcit dan pasaraya dilaporkan kehabisan stok makanan kerana diserbu oleh orang ramai. 

Perkara ini memang dari awal sudah dijangka akan berlaku, kerana budaya dan mentaliti masyarakat kita yang 'suka makan' dan dalam masa yang sama mereka bimbang 'tak cukup makan' sepanjang perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Selain itu permintaan terhadap makanan yang siap dimasak menerusi aplikasi penghantar makanan seperti FoodPanda dan Grab Food, juga meningkat dengan begitu ketara.


Satu lagi tabiat masyarakat kita yang tidak boleh disangkal ialah mereka juga gemar membazirkan makanan tidak kira sama ada makanan itu dimasak sendiri atau dibeli dari luar yang selalunya melebihi keperluan.

Terdapat dua jenis makanan yang dibazirkan. Pertama sejumlah 40 peratus sisa makanan tidak boleh dielak contohnya tulang, batang sayuran dan kulit buah-buahan, dan yang kedua terdiri daripada pembaziran yang boleh dielakkan termasuk makanan yang tamat tarikh luput, makanan yang rosak sebelum dimasak dan makanan yang rosak sebelum dimakan.

Semua inilah antara punca paling ketara yang menyumbang kepada peningkatan sisa buangan domestik.

Umum mengetahui bahawa pembuangan sisa domestik mempunyai kesan yang besar terhadap kehidupan masyarakat, alam sekitar dan ekosistem selain turut menjejaskan keselesaan penduduk secara amnya.

Kajian mendapati isi rumah di negara ini menghasilkan sisa buangan domestik paling tinggi iaitu pada kadar 38 peratus berbanding pasar basah, restoran, dan hotel masing-masing pada keadaan 24%, 23% dan 7%.

Malah ada juga kajian mendapati masyarakat di negara ini seringkali membuang makanan yang tidak habis dimakan sedangkan masih terdapat kira-kira 20 peratus sisa berkenaan masih boleh dimakan dan boleh dielakkan daripada dibuang.


Sebab itulah berdasarkan komposisi sisa buangan domestik jumlah peratusan tertinggi sebanyak 45 peratus adalah terdiri daripada sisa makanan di tempat pelupusan sampah seluruh negara.

Pembuangan ini boleh mengancam alam sekitar kerana sisa makanan di tapak pelupusan sampah menghasilkan gas metana yang tinggi. Meskipun jumlahnya tidak melebihi karbon dioksida namun kekuatan gas metana adalah 34 kali lebih tinggi dan boleh menyebabkan perubahan cuaca panas yang begitu mendadak, sekali gus menjadi penyumbang besar kepada pemanasan global.

Sisa makanan ini juga akan membentuk larutan meresap yang sangat kotor dan boleh memberi kesan negatif kepada sungai-sungai dan sumber air bawah tanah. Selain itu lalu Tan ini juga mempunyai bau yang sangat busuk dan merosakkan nilai estetika persekitaran.

Kadar kesedaran untuk mengitar semula bahan buangan yang begitu rendah di kalangan masyarakat iaitu hanya sekitar 28 peratus, menyebabkan jumlah sampah sarap khususnya sisa makanan tidak dapat dikurangkan akibatnya tapak pelupusan sampah semakin tepu di seluruh negara.

Pada tahun 2019, datang menunjukkan rakyat Malaysia menghasilkan 37,890 tan sisa sampah setiap hari atau bersamaan dengan 1.17 kg sampah dihasilkan bagi setiap rakyat Malaysia. Kos pengurusan sampah yang dikeluarkan oleh kerajaan sangat tinggi.

Sebagai contoh kos pengurusan sampah untuk tujuh buah negeri di bawah pengurusan SWCorp iaitu Wilayah persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, Perlis, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang, menelan belanja RM2 bilion setiap tahun.

Selain itu kawasan di lokasi tapak pelupusan sampah tidak boleh digunakan untuk pembangunan atau projek lain kerana kawasan itu perlu dirawat sekurang-kurangnya selama 20 tahun. 

Ini kerana kawasan pelupusan sampah mempunyai larutan resap dan gas berbahaya dengan kadar pencemaran yang sangat tinggi serta boleh membahayakan penduduk.


Selain itu di kawasan bandar yang pesat membangun timbul masalah untuk mendapatkan tanah yang sesuai untuk dijadikan kawasan pelupusan sampah. Ini kerana umumnya masyarakat tidak mahu tapak berkenaan diletak berhampiran kawasan kediaman mereka.

Bayangkan jika rakyat Malaysia mempunyai kesedaran tinggi untuk mengamalkan amalan kitar semula dan pengasingan sisa buangan domestik di rumah masing-masing, tentu kita tidak memerlukan tapak pelupusan sampah yang begitu banyak.

Mana tidaknya 40 peratus daripada jumlah sisa sampah yang dihasilkan setiap hari sebenarnya boleh dikitar semula seperti kertas, buku dan plastik, manakala dianggarkan 40 peratus lagi adalah sisa makanan yang boleh menjana biogas dan kompos.

Manakala selebihnya hanya tinggal 20 peratus sahaja yang perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah untuk diuruskan. Jika kita seorang yang prihatin apa yang perlu kita lakukan adalah dengan mengurangkan penghasilan sampah domestik melalui amalan aktiviti kitar semula dan mempraktikkan pengasingan sisa dapur terutama makanan.


Kita sebenarnya tidak ada pilihan, kita wajib mengubah cara hidup dengan mengamalkan kitar semula, dan mengasingkan sisa sampah jika tidak mahu Malaysia terus dipenuhi sampah sarap.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan