Tiga ditahan curi elektrik untuk melombong bitcoin RM17.8 juta

EMPAT individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita ditahan oleh pihak polis kerana mencuri bekalan elektrik untuk melombong matawang kripto 'bitcoin' bernilai lebih RM17.8 juta.


Difahamkan mereka bakal menjadi jutawan dengan mengumpul hasil sebanyak RM17.8 juta sekiranya berjaya melakukan kegiatan haram itu untuk tempoh dua bulan lagi.

Mesin Bitcoin dirampas

Harga matawang kripto Bitcoin baru-baru ini melambung tinggi, di mana harga terkini bagi 1 Bitcoin bernilai RM74,976 mendorong kepada peningkatan kegiatan mencuri elektrik bagi melombong matawang itu.

Kumpulan suspek yang menjalankan perlombongan digital secara haram itu disyaki mencuri bekalan elektrik bernilai lebih RM90,000 sebulan.

Menurut pihak polis, ketua kumpulan itu sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) kerana mencuri elektrik untuk melakukan perlombongan digital.

Namun selepas dibebaskan, suspek mengambil kesempatan dengan kenaikan harga Bitcoin untuk kembali melakukan kegiatan lamanya.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah mengesahkan pihak polis telah merampas 240 unit mesin Bitcoin yang sedang beroperasi dengan kapasiti arus elektrik tinggi di tingkat atas premis rumah kedai dua tingkat yang diserbu.

Menurutnya siasatan awal mendapati mesin Bitcoin berkenaan yang dibawa masuk dari luar negara dengan harga di antara RM300 hingga RM500 itu beroperasi selama 24 jam tanpa henti sejak dua bulan lalu.

Suspek dipercayai melakukan ubahsuai pendawaian terhadap meter elektrik supaya jumlah penggunaan kapasiti tinggi untuk aktiviti perlombongan Bitcoin itu tidak direkodkan dalam bacaan sebenar meter TNB.

"Berdasarkan nilai semasa, setiap mesin Bitcoin itu dalam tempoh empat bulan mampu mencapai keuntungan RM74,000,"

"Jika tidak dikesan awal semua suspek dianggarkan memperolehi lebih RM17 juta keuntungan hasil aktiviti 240 unit mesin Bitcoin dalam tempoh dua bulan lagi dengan cara menggunakan arus elektrik secara curang," katanya.


Menurut Razali semua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Seorang wanita yang ditahan iaitu isteri kepada salah seorang suspek dibebaskan selepas siasatan terhadapnya selesai dijalankan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan