Banjir Sabah, jambatan runtuh ribuan terkandas di Pitas ramai kelaparan

KEJADIAN jambatan runtuh, tanah runtuh akibat bencana banjir di Pitas, Sabah susulan hujan lebat beberapa hari lalu dilaporkan telah mengakibatkan penduduk terputus laluan darat untuk ke pekan berhampiran.


Akibatnya, ribuan penduduk tempatan terkandas manakala ramai di kalangan mereka hanya mempunyai bekalan makanan yang terhad.

Jambatan Runtuh Pitas Sabah

Sebuah jambatan di Kampung Gumpa, yang runtuh pada hari Isnin telah menjejaskan lebih 10 buah kampung, dan penduduk kini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan dan bekalan perubatan.

Keadaan banjir yang bertambah buruk di kawasan berkenaan memaksa sebilangan penduduk yang mempunyai kebolehan untuk memandu bot mengambil risiko menyelamatkan saudara-mara yang tinggal di kawasan tanah rendah berdekatan Sungai Bengkoka.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan keadaan sambungan Internet yang teruk menyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan dari luar.

Menurut Allyson Motibin, salah seorang daripada ribuan penduduk di Kampung Lui, mereka kini terpaksa mencatu makanan sebagai persediaan jika keadaan banjir berterusan.

"Oleh kerana kebanyakkan rumah dan kedai-kedai runcit terletak di kawasan tanah rendah mengalami banjir, kami tidak boleh mendapatkan bekalan keperluan. Makanan semakin habis, harta benda kami musnah,"

"Ketika ini kami berikan keutamaan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), dan kanak-kanak. Mereka mesti makan dulu dan kami makan sahaja apa yang ada setiap hari,"

"Sebilangan penduduk kampung yang tinggal berdekatan sungai telah diselamatkan oleh sukarelawan, dan berpindah ke rumah saudara-mara di kawasan yang lebih tinggi kerana tiada pusat pemindahan banjir di sini," katanya.

Meskipun harta benda mereka seperti rumah, kereta, motosikal dan tanaman musnah, Allyson menaruh Harapan agar petugas bantuan segera tiba untuk membawa bantuan makanan secepat mungkin kerana keadaan di kawasan itu nampak tidak berubah.


Ketika dihubungi tengah hari semalam, kata Allyson hujan masih turun di kampungnya.

Ternyata jambatan yang menghubungkan Pekan Pitas tidak dapat dibaik pulih pada kadar yang segera.

Jambatan berkenaan yang terletak di Kampung Gumpa, menghubungkan Kampung Lui, dan kampung-kampung berhampiran iaitu Kampung Tiga Tarok, Malubang, Pansuran, Dalas, Mangkubau, Bawing, Kioahung, Kapok, Liu Tamu, Liu Darat, Kandang, Kodong, Telaga, Jambu dan Suang Duyung.

Dalam pada itu Kampung Maringan dan Mangkubau juga terputus hubungan serta memerlukan bekalan makanan segera disebabkan keadaan jalan di kedua-dua buah kampung itu tidak dapat dilalui akibat banjir.

Lauan terputus

NGO tempatan, Reach Out kini dilapor sedang menguruskan bantuan logistik dan makanan untuk mangsa-mangsa banjir.

Koordinator NGO itu, Fauziah Stephens berkata dia telah menghubungi beberapa lagi NGO, dan berharap Mercy Malaysia antara yang dihubungi dan menunjukkan minat terhadap inisiatif itu dapat memberi maklum balas secepat mungkin.

"Tidak mudah untuk menyalurkan bantuan, namun kami perlu mencari jalan disebabkan sebahagian kampung langsung tidak boleh dihubungi,"

"Ketika ini sukarelawan Reach Out bersiap sedia dengan 10 buah bot untuk membantu jika ada sebarang edaran makanan yang datang dari luar. Kami cuba untuk meliputi kedua-dua kawasan Pitas dan Bengkoka. Namun Kami sedang mencari lebih banyak bot untuk kawasan Kusilad, Pandan Mandamai, dan Dandin," katanya.

Pitas terletak di bahagian utara negeri Sabah, terbahagi kepada dua daerah Pitas dan Bengkoka, sekitar 200km dari Kota Kinabalu.

Setakat ini, maklumat yang diterima dari lapangan mengesahkan sejumlah 50 buah kampung mengalami banjir dengan 40 buah kampung terputus hubungan secara total.

Sebilangan penduduk berkongsi pengalaman mereka tentang bencana banjir yang dialami menerusi media sosial menyifatkan ia sebagai bencana alam paling buruk pernah disaksikan dan berharap keadaan segera pulih seperti sediakala.

Ruby Ronarita, seorang guru yang tinggal di Kampung Kerasik kira-kira 5km dari Pekan Pitas berkata, rumah keluarganya dibina di atas tiang, justeru buat sementara waktu keadaan mereka masih selamat.


Namun dia bimbang dengan nasib saudara-mara dan rakan yang tinggal berdekatan sungai.

"Saya diberitahu oleh salah seorang rakan bahawa rumah mereka di Kampung Sinsilog telah didatangi oleh seekor buaya semalam. Saya harap semua orang lebih berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling pada setiap masa," tambahnya.

Di kawasan Pandan, aliran air yang deras ke dalam Sungai Bengkoka telah mengakibatkan banjir kepada beberapa kampung-kampung kecil, iaitu Lugu, Kobon, Mandamai, Mandurian Laut, Mandamai Bai, Pandan dan Pandan Mandamai.

"Kami tidak mempunyai bot yang sempurna untuk membawa mangsa melintasi sungai berarus deras. Kami harap APM dapat membantu kami,"

Orang kampung dilaporkan membantu mangsa yang terkandas di Pandan.

"Hari sudah semakin gelap di sini, dan masih ramai keluarga yang perlu diselamatkan,"

"Pada waktu ini kami mengaturkan kepada mereka yang tinggal berhampiran sungai untuk berpindah ke rumah saudara-mara di kawasan bukit atau tanah tinggi, namun kami berdepan masalah bekalan makanan. Kami perlukan bantuan," rayunya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan