Lebih ramai MP Umno akan tarik balik sokongan kepada PN kata Nazri Aziz

AHLI Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz memberitahu lebih ramai Ahli Parlimen Umno akan menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Nazri mendedahkan perkara itu selepas Ahli Parlimen Umno Machang, Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaacub mengumumkan hari ini bahawa beliau tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Nazri Aziz

"Kita tunggu dan lihat, lebih ramai Ahli Parlimen (Umno) akan menarik balik sokongan mereka, selepas itu Muhyiddin perlu menghadap Agong," katanya seperti yang dipetik oleh FMT.

Mengikut peruntukan undang-undang, seorang Perdana Menteri yang telah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat mesti meletak jawatan termasuk seluruh ahli kabinet, sebelum Yang Di-pertuan Agong memilih seorang perdana menteri baru yang mempunyai majoriti sokongan di parlimen.

Nazri bagaimanapun enggan untuk mengesahkan berapa ramai MP Umno yang akan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin. Beliau juga enggan memberitahu sama ada dirinya merupakan antara mereka yang akan menarik sokongan.

Jazlan yang telah meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) minggu lalu, mengumumkan penarikan sokongannya terhadap Muhyiddin dalam satu sidang media di Kota Bahru, Kelantan petang tadi dan turut menyiarkan pengumuman itu menerusi akaun media sosial miliknya.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh juga telah membuat pengumuman yang sama bulan lalu, ini bermakna Muhyiddin kini hanya mempunyai 110 sokongan daripada jumlah keseluruhan 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat pada masa ini.

Pada hari rabu lalu, selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa usul parti itu untuk memutuskan hubungan dengan PPBM akan diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno pada 31 Januari ini.

Katanya sejumlah 143 daripada 191 bahagian Umno seluruh negara menyuarakan agar pimpinan parti itu tidak bekerjasama dengan PPBM dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Jazlan sebelum ini mengumumkan bahawa dia akan meletak jawatan sebagai pengerusi MPOB jika kerajaan Perikatan Nasional tidak membubarkan parlimen selepas bulan Januari.

Namun beliau meletak jawatan hanya sejam selepas membuat pengumuman itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan