Kisah doktor yang mencuri otak Albert Einstein

THOMAS Harvey merupakan seorang doktor dan juga ahli patologi, dilahirkan pada tahun 1912. Namanya tercatat dalam sejarah kerana mencuri otak Albert Einstein ketika melakukan bedah siasat terhadap mayat ahli fizik paling popular itu.

Dok yang mencuri otak Albert Einstein

Segalanya bermula selepas kematian Albert Einstein, di mana punca kematiannya dipercayai akibat aneurisma aorta di bahagian abdoman, pada 18 April 1955 ketika berusia 76 tahun.

Albert Einstein saintis popular

Einstein merupakan seorang saintis popular. Tidak ramai orang yang mampu memahami teori relativiti dihasilkan olehnya, tapi semua orang kenal siapa Albert Einstein. Gaya rambutnya yang kusut masai, misai putihnya, dengan lidah terjelir keluar pernah menghiasi pelbagai majalah dan poster.

Menyedari populariti diraihnya, Einstein tahu kematiannya nanti pasti akan menggemparkan dunia dan jasadnya akan mencetuskan kontroversi. 

Maka dalam bulan-bulan terakhir sebelum meninggal dunia, Albert Einstein telah meninggalkan wasiat agar mayatnya nanti dibakar di hadapan keluarga dan abunya ditabur ke dalam sungai sebelum pihak media dimaklumkan tentang kematiannya.

Einstein dies

Otak Albert Einstein dikeluarkan secara rahsia

Semuanya berjalan lancar mengikut wasiat Einstein. Namun di luar pengetahuan keluarganya, doktor yang melakukan bedah siasat itu adalah peminat fanatik Einstein, dan fikirannya dikatakan tidak berapa waras.

Thomas Harvey, ketika itu berusia 43 tahun telah mengeluarkan otak saintis 'genius' itu sebelum menimbangnya. Seterusnya tanpa memberitahu orang lain, dia telah membelah otak tersebut dan dimasukkan ke dalam larutan formalin untuk diawetkan.

Secara diam-diam ahli patologi itu telah menyeludup keluar otak Albert Einstein menerusi beberapa buah balang tanpa diketahui oleh orang lain.

Pengakuan Thomas Harvey

Beberapa hari kemudian perkara itu terbongkar, selepas Thomas Harvey sendiri membuat pengakuan kepada anak Albert Einstein, iaitu Hans Einstein. 

Dia menjelaskan bahawa, meskipun perbuatan itu dilakukan seperti seorang pencuri, katanya ia terpaksa dilakukan demi kebaikan manfaat kajian saintifik. Jelas sekali Albert Einstein adalah seorang ilmuwan istimewa, dan kemungkinan besar keistimewaan itu ada di situ, di dalam otaknya.

Entah bagaimana, Hans setuju dengan penjelasan ahli patologi itu untuk menyimpan otak ayahnya. Dengan syarat otak itu digunakan hanya bagi tujuan kajian saintifik semata-mata.

Meskipun telah mendapat persetujuan daripada Hans Einstein, pihak Princeton Hospital tetap tidak mengakui perbuatan salah seorang kakitangannya mencuri otak walau apa alasan sekalipun. Justeru Thomas Harvey telah dipecat daripada jawatannya.

Thomas Harvey semakin ghairah

Bagaimanapun, kegilaan Harvey sebenarnya baru bermula. Komited untuk menunaikan janji, Harvey telah menyimpan otak Albert Einstein di ruang bawah tanah rumahnya sebelum menghubungi ramai pakar neurologi.

Harvey terkejut, apabila tidak ada seorang pun datang dan berminat dengan serpihan-serpihan otak insan genius itu. Mungkin mereka menganggap Harvey sudah gila, atau ada perkara lain lebih penting untuk dilakukan.

Perkara itu tidak membuatkan Harvey berputus asa, obsesinya terhadap otak itu semakin bertambah, lagi dan lagi, sampaikan isterinya sendiri sudah tidak sanggup lagi tinggal bersama.

Tinggallah Harvey seorang diri dalam keadaan keseorangan, menganggur, dan kecewa. Harvey menyimpan Otak Albert Einstein di dalam bonet keretanya sambil keluar cuba mencari pekerjaan.

Dia menghabiskan masa bertahun-tahun, berpindah-randah di pelbagai bandar. Harvey masih mempraktiskan bidang perubatan dan dalam masa sama turut bekerja sebagai seorang operator di sebuah kilang.

Dunia ketika itu dikejutkan dengan tamatnya Perang Vietnam, dan skandal Watergate. Pada waktu itu juga permulaan kepada tamatnya pemerintahan Soviet Union di Rusia. Maka tidak ada lagi orang peduli dengan perkembangan otak Albert Einstein.

Sehinggalah pada tahun 1978, apabila seseorang wartawan dari majalah bulanan New Jersey bernama Steven Levy telah menghubungi Harvey untuk menemubualnya. Sebuah artikel hasil temubual itu telah diterbitkan.

Penyelidikan dijalankan selepas 30 tahun

Artikel itu yang diterbitkan dengan tajuk sederhana iaitu "Saya jumpa otak Einstein," telah sampai ke sebuah pejabat di University of Berkeley, California.

Seorang pakar neurologi bernama Marian Diamond telah menghubungi Harvey dan meminta sedikit cebisan otak Einstein dalam simpanannya.

Marian Diamond merupakan saintis pertama yang berpeluang untuk menjalankan kajian terhadap otak Albert Einstein, 30 tahun selepas ia dikeluarkan daripada jasad ahli fizik genius itu.

Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam tahun 1999, di sebuah majalah berprestij Lancet, dengan tajuk "The exceptional brain of Albert Einstein,'

Berdasarkan gambar-gambar diambil oleh Harvey sendiri ketika melakukan bedah siasat, para penyelidik membuat kesimpulan bahawa bahagian lobus parietal otak Einstein menunjukkan rupa bentuk yang luar biasa.

Kesimpulan sama turut dibuat oleh satu lagi pasukan pakar neurologi dari University of Florida selepas menjalankan kajian pada tahun 2012.

Harvey terpaksa mengorbankan separuh abad umurnya, kerjayanya, dan perkahwinannya. Namun dia akhirnya berjaya menunaikan janji kepada Hans Einstein supaya otak ayahnya hanya digunakan demi penyelidikan saintifik.

Harvey meninggal dunia pada 5 April 2007 ketika berusia 94 tahun. Serpihan otak Albert Einstein yang disimpannya telah diserahkan kepada keturunannya. 

Namun 3 tahun kemudian mereka telah mendermakannya kepada National Museum of Health and Medicine, di mana orang ramai boleh melihatnya sampai ke hari ini.

Otak Albert Einstein
FOTO | Otak Albert Einstein dipamerkan di London

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan