Penternak raih RM277,000 sewakan kambing jadi tetamu video call Zoom

SIAPA sangka idea sekadar untuk melawak, rupanya boleh memberikan pulangan yang sangat lumayan. Ini berlaku kepada seorang penternak di UK yang meraih pendapatan lumayan RM277,000 selepas mencadangkan orang ramai menyewa kambingnya sebagai tetamu dalam mesyuarat Zoom.

Dot McCarthy, dari Rossendale di Lanchasire dilaporkan berkata, dia telah memperolehi sebanyak €50,000 (RM276,802) sejak bulan April tahun lalu, selepas mencuba nasib menawarkan kambing-kambingnya menjadi tetamu dalam 'video call' semasa perintah sekatan pertama dilaksanakan di negara itu.

Kambing untuk Zoom

Katanya, maklum balas "gila" diterima dari orang ramai menyebabkan dia tidak perlu lagi bergantung kepada penjualan baja dilakukan sebelum ini, kerana hasil itu telah membantu untuk mengekalkan pekerjanya bekerja sepenuh masa, menanggung penambahbaikan, dan membolehkan ladangnya terus dibuka.

McCarthy, 32 adalah pemilik CronkShaw Fold Farm, selepas mengambil alih perniagaan itu dari ibunya pada tahun 2016, sebelum mempelbagaikan perniagaan itu menggunakan kawasan ladang untuk majlis perkahwinan, lawatan sambil belajar, malah penempatan Airbnb.

Mereka juga menganjurkan aktiviti interaktif bersama haiwan-haiwan di ladang tersebut seperti "Yoga Kambing"

Yoga Kambing
FOTO | Aktiviti Yoga Kambing

Namun perintah sekatan Covid-19 yang dilaksanakan di negaranya menyebabkan perkhidmatan itu tidak dapat dijalankan, sebelum McCarthy muncul dengan idea "Kambing dalam Zoom" untuk menceriakan panggilan video ketika bermulanya perintah sekatan kali pertama dalam bulan April 2020.

"Ia bermula hanya sebagai lawak, saya mendapat idea itu dan telah memberitahu pekerja saya Emma, kami sependapat idea itu aneh, dan kami perlu mengutamakan idea-idea menghasilkan wang cara lain," katanya.

"Bagaimana pun saya letakkan juga dalam website malam itu dengan menyertakan alamat email Emma untuk tujuan tempahan,"

"Ketika saya bangun, saya terima banyak panggilan dari Emma mengatakan dia dibanjiri lebih 200 email-email dan tak mampu menjawab panggil berkaitan kambing itu,"

Perkhidmatan itu mengenakan bayaran €5 (RM28) untuk menyewa seekor kambing yang seterusnya akan menyertai mesyuarat berjadual menerusi sistem jemputan (dengan bantuan petugas ladang tersebut).

Anda boleh memilih barisan kambing-kambing yang berbeza, dengan personaliti berbeza untuk panggilan video anda, kerana ladang itu kini mempunyai tujuh ekor kambing untuk tujuan perkhidmatan itu.

Website itu turut menyatakan bahawa kambing-kambing berkenaan "bijak" di dalam Zoom, Microsoft Teams, Skype, Google Hangouts dan banyak lagi aplikasi mesyuarat video lain.

Sejak hari itu, kambing-kambing milik McCarthy telah muncul dalam pelbagai mesyuarat maya seluruh dunia, dari mesyuarat pengurusan syarikat, sampailah mesyuarat maya gereja di negara-negara seperti Amerika, India, China, Rusia dan Australia selepas meraih populariti mendadak tahun lalu.

Menurutnya, haiwan itu selalunya hanya masuk dalam satu-satu panggilan video sebagai penampilan singkat untuk menceriakan mood, Namun ada juga sebuah keluarga yang menempah seekor kambingnya, Margaret pada setiap hari ahad pagi untuk taklimat keluarga.

"Mereka memanggilnya Marg, dan ia kini salah seorang ahli keluarga itu. Mereka suka mendengar perkembangan kambing itu," katanya.

Tambahnya lagi, pasukannya terpaksa bergelut untuk memenuhi permintaan "Kambing untuk Zoom", namun wang yang diperolehi dapat membantu meneruskan operasi ladang, dan mengubahsuainya kepada tenaga yang boleh diperbaharuai bagi mengurangkan pembebasan karbon.

"Ianya lebih mudah dan seronok daripada menjual baja," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan