Sejarah kentang pernah dianggap makanan jijik di dunia barat

HARI ini majoriti manusia di dunia gemarkan 'French frise' (kentang goreng), betul tak? Namun walaupun namanya ada terselit istilah 'perancis' jika anda tawarkan makanan itu kepada orang-orang Perancis pada abad ke-18, anda tentu hairan kerana mendapati mereka merasa jijik dengan kentang.  

Sukar dibayangkan pernah berlaku suatu masa kentang bukanlah makanan yang disukai di dunia barat, sebaliknya ketika itu kentang dicerca dan dihina kerana pelbagai alasan oleh orang-orang Eropah.

Pada masa itu kentang dilihat bukan sahaja tidak lebih sebagai makanan untuk binatang ternakan,  malah dipercayai boleh menyebabkan sakit kusta. Rata-rata orang Perancis menjauhkan diri daripada kentang. Bukan itu sahaja, Parlimen Perancis juga pernah mengharamkan kentang pada tahun 1748!

Kentang
FOTO | Kentang pernah dianggap makanan jijik dan boleh menyebabkan sakit kusta

Kentang menyelamatkan nyawa

Sehinggalah muncul ahli farmasi Perancis bernama Antoine Augustin Parmentier, seorang lelaki yang mempunyai obsesi tinggi terhadap kentang hasil  pengalamannya ketika berkhidmat dalam angkatan tentera.  

Semasa Perang Tujuh Tahun (1754-1763), dia telah ditangkap oleh tentera Prusia, dan ketika berada dalam tahanan, salah satu hidangan biasa diberikan kepadanya di penjara adalah kentang.

Pengalaman itu telah mengubah persepsi Parmentier terhadap kentang. Sepanjang masa dia telah diberi makan kentang, namun dia langsung tidak pernah mengalami jangkitan seperti diperkatakan selama ini daripada diet penuh karbohidrat itu. Malah dia juga menyedari betapa lazatnya makanan itu.

Dalam penjara, kentang dianggap sebagai anugerah tuhan. Parmentier merasa sangat bersyukur bagaimana kentang telah menyelamatkan nyawanya pada masa itu, sekaligus menyebabkan dia melancarkan misi untuk menyebarkan kebaikan makanan enak itu kepada seluruh rakyat di negaranya.

Selepas menghadapi banyak tentangan dan bantahan, pada tahun 1772, pengharaman kentang oleh Perancis akhirnya dimansuhkan kerana usaha kerasnya. Parmentier juga telah menulis sebuah risalah ilmiah tentang kentang bertajuk, "Pertanyaan Mengenai Sayuran Berkhasiat di Masa Darurat Boleh Mengganti Makanan Biasa."

Dia berpendapat bahawa kentang merupakan makanan berkhasiat dan murah serta boleh ditanam di mana sahaja, selain memberikan khasiat yang sangat diperlukan untuk mengisi perut. Parmentier telah memenangi anugerah pada tahun 1773 dari Academy of Besancon atas penyelidikan itu.

Cara Parmentier menyebarkan kentang

Parmentier bukan sahaja berkempen kepada rakyat biasa, malah turut menambahkan sentuhan glamor pada reputasi kentang yang hambar, mengadakan makan malam berprestij dengan mempamerkan rasa dan sifat versatil kentang dalam pelbagai jenis hidangan.  

Tetamu makan malam dijemputnya termasuk Antoine Lavoisier dan Benjamin Franklin. Malah dia turut menghadiahkan sejambak bunga kentang kepada raja dan permaisuri Perancis.

Antoine-Augustin Parmentier
FOTO | Antoine Augustin Parmentier

Pada tahun 1781, Raja Louis XVI telah memberikan Parmentier sebidang tanah besar di Sablons, dan dia telah mengubahnya menjadi ladang kentang.  

Menggunakan pendekatan psikologi terbalik, Parmentier mengupah lelaki-lelaki gagah dan lengkap bersenjata untuk menjaga ladang kentang itu, dan memastikan tindakan itu boleh dilihat oleh orang ramai.  

Kenapa? Alasannya mudah, jika orang ramai memerhatikan sesuatu itu dijaga begitu rapi, mereka akan menganggap bahawa kentang sangat berharga dan patut dicuri.

Namun secara diam-diam, Parmentier memerintahkan para pengawal untuk membiarkan sahaja para pencuri melarikan diri dengan kentang yang dicuri, dan sebarang rasuah ditawarkan sebagai ganti terhadap kentang harus diterima, tidak kira seberapa besar atau kecil.  

Tidak lama selepas itu, semakin ramai orang mula mencuri kentang-kentang dari ladangnya, sekaligus menyebarkan kentang secara lebih meluas lagi!

Peristiwa Revolusi Perancis telah menghambat usaha Parmentier, dan dia dilayan dengan penuh curiga kerana menerima sokongan diraja.  

Mujurlah, kesangsian terhadap usahanya itu berjaya dihapuskan dengan adanya buku resepi masakan kentang diterbitkan oleh Madame Merigot, justeru mengubah kentang dari bahan makanan jijik kepada tanaman penting ketika zaman revolusi Perancis.

Hari ini, usaha dan penyelidikan Parmentier diingati menerusi pelbagai hidangan kentang, seperti potage Parmentier terkenal, sup kentang dan daun bawang, hachis Parmentier, pai crust dibuat dari kentang tumbuk dan lain-lain hidangan berasaskan kentang.

Kubur Parmentier di Perancis turut dihiasi dengan pelbagai hiasan kentang untuk menghormati kehidupannya yang begitu taksub dengan kentang.

Jika tidak kerana Parmentier, mungkin hari ini kita tidak dapat merasai kelazatan pelbagai jenis resipi masakan berasaskan kentang. Tentu sekali McDonald's juga tidak dapat mengaut keuntungan lumayan setiap tahun hasil jualan kentang goreng di seluruh dunia.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan