Wanita ini bunuh diri kerana simpati kepada penculik

PADA 27 Mei 1933, wanita bernama Mary McElroy berusia 25 tahun sedang mandi berendam dalam buih ketika diculik oleh empat lelaki. Lelaki-lelaki itu masuk ke dalam rumah dengan senapang dan menunggu Mary siap mengeringkan badan dan berpakaian, sebelum membawanya ke sebuah rumah ladang usang dan mengikatnya ke dinding di ruang bawah tanah bangunan berkenaan.

$ads={2}
Ayah Mary McElroy adalah orang kaya, justeru menjadi lubuk emas bagi penculik meminta wang tebusan. Ketika penculik berkenaan memberitahu bahawa mereka akan meminta wang sebanyak $60,000 daripada ayahnya, Mary tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang serius. Malah dia sempat berjenaka: "harga saya lebih mahal dari itu!" katanya.

Mary McElroy

Ayah Mary telah berunding dan membayar sejumlah $30,000 untuk pembebasan Mary selepas 29 jam anak perempuannya itu ditahan. Mary dibebaskan selepas wang tebusan itu dibayar, dan langsung tidak diapa-apakan oleh penculik.

Penculik berjaya ditangkap


Tiga daripada empat lelaki itu bagaimanapun telah ditangkap hampir sebulan kemudian dan diheret ke muka pengadilan. George Mcgee dan Clarence Click ditahan sebelum 21 Jun, manakala Walter McGee ditahan pada 2 Jun ketika cuba membeli sebuah kereta menggunakan hasil wang tebusan berkenaan. 

Pihak berkuasa berjaya menemui wang berjumlah $9,000 daripada Walter McGee, dan keseluruhan wang baki tebusan berjaya ditemui berjumlah sekitar $16,000.

Perbicaraan kes culik tersebut dijalankan selepas itu, dan liputan media terhadapnya begitu mendapat perhatian dan menjadi sensasi. 

Perbicaraan 


Mary kelihatan malu-malu dan teragak-agak ketika memberi kenyataan di mahkamah. Dia menceritakan bagaimana Walter McGee mengarahkannya untuk bertelanjang bagi memastikan tiada sebarang bukti diseludup ketika dibebaskan. Namun para penculik itu tidak memaksanya walaupun Mary menolak arahan itu.

Ketika diminta untuk mengecam wajah para penculik berkenaan di dalam mahkamah, Mary kelihatan sukar untuk melakukannya. Mary menegaskan bahawa dirinya telah dilayan dengan baik sepanjang berada dalam tahanan mereka, malah turut diberikan bunga oleh Walter ketika dibebaskan. 

Ketika perbicaraan berlangsung, Mary McElroy turut berjumpa dengan saudara mara para penculik itu dan secara terbuka meluahkan rasa simpati terhadap mereka.

Mary McElroy tertekan


Oleh kerana mengalami rasa sedih dan dukacita, Mary telah melarikan diri daripada rumah ayahnya pada 10 Februari, dan muncul sehari kemudian di Illinois selepas menghantar satu telegram kepada ayahnya dari Springfield menyatakan rasa bersalah dalam dirinya.

"Maaf tapi saya sangat takut, saya tak tahu apa yang sedang saya lakukan," tulis Mary dalam catatan Telegram itu.

Pihak berkuasa telah menemui Mary McElroy dan membawanya pulang kembali ke Missouri. Mary menjelaskan kepada pihak polis bahawa dirinya merasa seperti seorang pembunuh, dan mahu melarikan diri kerana hatinya tidak tenang.

Mary McElroy bantah hukuman dijatuhkan


Oleh kerana Walter McGee merupakan dalang jenayah penculikan itu, dia menerima hukuman paling berat. Pada 30 Mac 1935, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Walter McGee, dan dia menjadi penjenayah pertama dijatuhkan hukuman mati kerana menculik di Amerika Syarikat.

Selepas tarikh hukuman itu ditetapkan pada 10 Mei, Mary McElroy telah mengejutkan semua orang apabila dia bertindak mencabar hukuman berkenaan. Pada bulan April 1935, Mary telah menghantar surat kepada Gabenor Guy Brasfirld Park. 

Dalam surat itu Mary mengatakan bahawa hukuman gantung dijatuhkan terhadap Walter McGee akan memberi impak sama berat terhadap dirinya. Justeru dia merayu supaya hukuman mati itu tidak dijalankan.

"Hukuman gantung Walter McGee sama berat dirasakan kepada saya seperti yang dia rasai. Menerusi pelaksanaan hukuman terhadap seorang lelaki bersalah, mangsanya juga akan merasai penderitaan serupa. Di dalam rayuan untuk Walter McGee, saya merayu supaya fikiran saya menjadi tenang," 

Selepas rayuan itu, pada 7 Mei hukuman gantung terhadap Walter McGee telah ditangguhkan kepada satu tarikh lain yang belum dipastikan. Ayah Mary juga turut mempertahankan rayuan dilakukan anak perempuannya itu.

Mary McElroy membunuh diri


Selepas peristiwa itu Mary McElroy meneruskan hidup bersama ayahnya, Judge McElroy namun dia hidup dalam keadaan tertekan dan sering memencilkan diri.

Pada 21 Januari 1940, pembantu rumahnya menemui mayat Mary McElroy di dalam bilik tidur, dia telah mati membunuh diri selepas menembak kepalanya menggunakan sepucuk pistol kecil.

Mary McElroy telah meninggalkan sekeping nota bertulis: 

"Mungkin empat orang penculik saya sahajalah manusia di muka bumi ini, tidak menganggap saya sebagai seorang yang bodoh. Kini kamu sudah dapat hukuman mati jadi tolong berikan mereka satu peluang,"

Mary McElroy berusia 32 tahun ketika ditemui mati. Walter McGee dan George McGee ketika itu masih menjalani hukuman di penjara. Clarence Click, telah dibebaskan pada tahun 1938, dan Clarence Stevens gagal ditangkap oleh pihak berkuasa.

Sindrom Stockholm


Tekanan emosi yang dialami oleh Mary McElroy ini dikenali sebagai "Sindrom Stockholm" di mana ia kali pertama ditemui di kalangan individu-individu menjadi tebusan ketika berlakunya satu rompakan bank dalam tahun 1973 di Stockholm.

Apa yang berlaku ialah, individu-individu tersebut ketika ditahan, mungkin mula menjalinkan hubungan dengan penjenayah. Antara perasaan mungkin muncul seperti rasa simpati, cinta, dan marah terhadap sistem perundangan 

Mangsa-mangsa ketika diselamatkan kelihatan seperti keadaan sedang berkhayal. Mereka merasa keliru dengan konsep benar dan salah. Jika penculik tidak mencederakan mereka, mangsa akan merasa bersyukur dan berterima kasih kerana membiarkan mereka terus hidup.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan