Yanomami puak yang amal budaya makan abu mayat

TERDAPAT pelbagai budaya di seluruh dunia yang kelihatan begitu ganjil bagi kita namun mereka melihat amalan itu sebagai sesuatu yang normal. Salah satunya ialah budaya makan abu mayat diamalkan oleh Puak Yanomami di Brazil ini.

Berdasarkan catatan sejarah, kali pertama puak Yanomami ditemui pada tahun 1759, selepas pelayaran diketuai oleh Apolinar Diez de la Fuente sampai ke kawasan penempatan di Sungai Padamo. Puak Yanomami terdiri daripada sekitar 35,000 orang penduduk tempatan daripada 200 hingga 250 buah kampung, dalam hutan Amazon terletak di sempadan antara Brazil dan Venezuela.

Ritual makan abu mayat
FOTO | Ritual terhadap mayat Puak Yanomami

Orang-orang Yanomami tinggal dalam penempatan berbentuk oval yang dipanggil sebagai Shabono atau Yanos. Setiap penempatan ini menempatkan rumah-rumah atau pondok dihuni oleh sekitar 50 hingga 500 orang. 

Pondok-pondok ini dibuat daripada batang pokok, daun-daun dan pelbagai material dari hutan, dan mereka akan membina semula penempatan setiap empat hingga enam tahun sekali jika keadaannya rosak disebabkan hujan atau anging kencang.

Puak Ini dikatakan mengamalkan konsep pemerintahan sama rata, dan tidak mempunyai ketua. Sebarang proses membuat keputusan dijalankan secara persetujuan bersama. Lelaki dan wanita puak ini akan pergi memancing ikan, namun biasanya hanya lelaki pergi memburu haiwan di hutan.

Shabono Yanomami
FOTO | Shabono Puak Yanomami

Namun setiap individu tidak dibenarkan memakan daging haiwan hasil buruan yang dibunuhnya sendiri. Sebaliknya mereka hanya boleh makan daging hasil buruan yang dibunuh oleh orang lain. Kaum wanita pula kebanyakannya menjalankan kegiatan bertani dan berkebun.

Budaya Endocanibalism

Menurut kepercayaan puak Yanomami, kematian bukanlah satu peristiwa semulajadi. Bagi mereka punca kematian adalah disebabkan oleh roh jahat atau serangan ghaib dari pihak musuh. 

Justeru setiap kali berlaku kematian, mereka akan menjalankan ritual tertentu di mana keseluruhan komuniti itu akan memakan abu mayat si mati. Mereka percaya hanya itu sahajalah cara supaya roh si mati berasa aman dan tenang di alam kematian.

Sebaik sahaja seorang individu meninggal dunia, satu upacara khas pembakaran mayat akan dijalankan di mana mayat berkenaan akan dibungkus dengan daun daun dan dibawa ke dalam hutan jauh dari kawasan kediaman.

Seterusnya mereka akan meninggalkan mayat itu mereput selama lebih kurang 30 hingga 45 hari, bergantung kepada tahap kereputan. Kemudian pada hari terakhir, tulang-tulang mayat itu akan dikutip semula dan dibakar.

Abu daripada tulang-tulang tadi akan dicampurkan dalam sejenis sup yang dimasak bersama pisang oleh kaum wanita ahli keluarga si mati. Sup ini kemudiannya akan dihidangkan kepada seluruh komuniti itu, dan ia dilakukan secara berulang sehingga kesemua abu mayat itu dimakan oleh semua penduduk.

Mereka percaya bahawa upacara ritual ini membolehkan roh-roh si mati untuk terus hidup bersama-sama keturunannya yang akan datang, selain memberikan mereka kekuatan yang tiada tandingan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan