Gempa bumi kuat gegarkan Fukushima Jepun

SATU kejadian gempa bumi kuat dilaporkan melanda pantai Fukushima Jepun pada hari Sabtu (13 Febuari 2021), hanya seminggu sebelum ulang tahun ke-10 bencana tsunami 2011.

Gempa bumi pada skala 7.3 itu dapat dirasakan gegaran kuatnya di Tokyo, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Beberapa sumber melaporkan sejumlah 50 orang mengalami kecederaan, dan lebih 1 juta rumah terputus bekalan elektrik.

Gempa Bumi Jepun 2021

Lokasi gempa bumi kali Ini dilaporkan hampir dengan pusat gempa berlaku pada tahun 2011 yang telah mengakibatkan tsunami mengorbankan lebih 18,000 orang.

Bencana tsunami itu juga telah mengakibatkan bencana nuklear di Fukushima Daiichi Nuclear Power Plant – bencana nuklear paling dahsyat di dunia sejak peristiwa Chernobyl tahun 1986.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan kejadian gempa bumi itu dipercayai merupakan gempa susulan selepas gempa bumi besar yang berlaku pada tahun 2011. Fenomena gempa susulan selepas kejadian gempa bumi besar boleh berterusan bertahun-tahun lamanya.

Gempa bumi pada hari Sabtu itu berlaku pada jam 23.08 waktu tempatan pada jarak 60 km di Pasifik, luar pantai timur Jepun kata JMA. Sejak dari saat itu gempa-gempa susulan terus melanda wilayah itu.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Katsunobu Kato memberitahu wartawan bahawa penilaian sedang dijalankan termasuk di kawasan janakuasa nuklear.

"Kecederaan dan jumlah kerugian masih dalam penilaian," katanya dalam satu sidang media. Tambahnya lagi beberapa kawasan jaringan keretapi laju telah digantung disebabkan terputus bekalan elektrik.

"Penilaian sedang dilakukan di Loji Nuklear Fukushima Daiichi, kami telah menerima laporan bahawa loji nuklear Onagawa dan Fukushima Daiichi tidak menunjukkan sebarang keadaan luar biasa,"

Petugas di loji nuklear Fukushima juga turut mengirim ciapan menerusi Twitter mengesahkan bahawa "setakat ini tiada sebarang perkara luar biasa," ditemui di loji-loji berkenaan.

Meskipun telah mendapat jaminan dari pihak kerajaan, ramai penduduk di sepanjang pantai meninggalkan rumah mereka menuju ke kawasan tanah tinggi lapor Agensi Berita Jepun Kyodo.

"Walaupun orang kata kita tak perlu bimbang tentang tsunami, saya tak percaya," kata seorang lelaki berusia 50 tahun kepada akhbar itu. "Saya ambil pengajaran daripada pengalaman pahit 10 tahun lalu, dan sebab itulah saya berpindah," katanya.

Sumber | kyodonews.net

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan