Amarjeet Sada pembunuh bersiri paling muda di dunia, berusia 8 tahun

SEORANG kanak-kanak bernama Amarjeet Sada, berasal dari India, dinobatkan sebagai pembunuh bersiri paling muda di dunia. Amarjeet dikatakan mempunyai sifat 'psychopath' iaitu gemar membunuh untuk memenuhi keghairahannya terhadap darah dan kesakitan orang lain. Dia kali pertama melampiaskan nafsunya itu ketika baru berusia 8 tahun.

Pakar psikologi dari Universiti New Mexico, Kent Kiehl mendedahkan, seorang 'psychopath' memiliki tingkah laku tidak berperasaan sejak usia muda 8, 9, dan 10 tahun. Kanak-kanak seperti ini cenderung untuk menunjukkan kelakuan tidak berperasaan ketika semakin meningkat dewasa dan mungkin akan melakukan perbuatan lebih kejam.

'Psychopathy' itu sendiri merupakan sifat individu yang tidak merasa menyesal, tidak mempunyai emosi, selain menunjukkan sikap ekstrim tidak peduli kepada emosi manusia. Meskipun individu seperti ini hanyalah minoriti di kalangan populasi manusia, namun mereka bertanggung jawab melakukan lebih separuh kejadian-kejadian jenayah kejam dalam masyarakat.

Kebanyakan individu seperti ini, melakukan jenayah apabila meningkat dewasa selepas mencapai umur bebas membuat keputusan sendiri, dan mampu bersembunyi dari pengetahuan orang ramai, namun ada segelintir mereka sudah gemar membunuh sejak dari usia sangat muda.

Inilah terjadi kepada Amarjeet Sada, psychopath kanak-kanak paling popular di India, di mana dia baru berumur 8 tahun ketika kali pertama memuaskan nafsunya untuk membunuh dan menyakitkan orang lain. 

Amarjeet Sada
FOTO | Amarjeet Sada, Pembunuh bersiri paling muda di dunia

Amarjeet Sada mencari mangsa di kalangan kanak-kanak, dan korban pertamanya adalah seorang bayi perempuan baru berusia 8 bulan. Apa yang lebih membuatkan dirinya gembira membunuh ialah, bayi itu bukanlah orang lain, tetapi merupakan adiknya sendiri.

Nafsu melihat darah ahli keluarga sendiri

Amarjeet Sada dilahirkan di sebuah kampung bernama Mushahar, dalam daerah Bihar India. Alam kanak-kanaknya sama sahaja seperti orang lain di sekelilingnya. Justeru tidak ada sesiapa menyangka dia akan membesar untuk melakukan jenayah-jenayah kejam.

Sebilangan orang menandaikan Amarjeet Sada telah dipaksa oleh ayahnya untuk bekerja pada usia muda, disebabkan keluarganya sangat miskin. Justeru penderaan dialami mungkin menjadi punca Amarjeet mempunyai kecenderungan 'psychopath' dan sadis.

Tidak lama selepas membunuh adik perempuannya, Amarjeet telah membunuh seorang lagi bayi berusia 6 bulan. Mangsa kedua merupakan bayi perempuan anak kepada pakcik sebelah ibunya. Amarjeet dilihat begitu gembira memilih mangsa-mangsa yang mudah didampingi sebelum mencekik mangsa sehingga mati.

Lebih menyedihkan, ahli keluarga dan orang-orang kampung tahu jenayah pembunuhan dilakukan oleh Amarjeet, namun mereka memilih untuk berdiam diri kerana menganggap ia sebagai isu dalaman keluarga. Mereka tidak sedar bahawa keseronokan Amarjeet membunuh itu, nantinya akan turut dilakukan kepada mangsa-mangsa lain yang bukan ahli keluarganya.

Amarjeet tidak banyak bercakap, suka tersenyum

Dalam tahun 2007, Chunchun Devi, ibu kepada bayi perempuan berusia 6 bulan, telah menghantar bayinya bernama Khusboo di sebuah pusat asuhan. Namun ketika Chunchun Devi kembali untuk mengambil anaknya, dia mendapati bayinya hilang. Selepas tersebarnya berita berkenaan, orang ramai mula mengesyaki Amarjeet, kerena kebanyakan mereka mengetahui kisah lampau Amarjeet.

Penduduk kampung telah bertemu dengan Amarjeet Sada dan menyoalnya. Selepas disoal siasat, dia langsung tidak menunjukkan rasa menyesal, sebaliknya dengan gembira memberitahu orang kampung bagaimana dia mencekik bayi itu sehingga mati dan menunjukkan di mana mayat bayi itu ditanam.

Amarjeet dengan gembira memberitahu mereka "Khapda de mar mar ke sura deliyay," bermaksud "Saya bunuh dia, pukul dengan batu-bata," katanya lagi dia segera menutup mayat bayi itu dengan sampah sarap dan rumput-rumput di sekeliling selepas mendapati bayi itu telah meninggal dunia.

Sejurus selepas membuat pengakuan itu, Amarjeet telah ditahan oleh pihak polis kerana membunuh Khusboo Devi.

Ketika ditanya bagaimana dia menyerang mangsa dan mengapa dia tergamak melakukan pembunuhan itu, tindak balasnya sangat mengerikan. Amarjeet hanya memandang pihak polis sambil tersenyum, dan meminta polis memberikannya biskut untuk dimakan. Dia langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penyesalan, atau rasa bersalah, dan apabila ditanya lagi tentang pembunuhan kejam itu, dia akan berhenti berkata-kata dan hanya tersenyum.

Amarjeet tak tahu bezakan antara betul dan salah

Kes ini begitu jelas melibatkan ciri jelas psychopath kanak-kanak, justeru Superitendan Amir Lodha pegawai penyiasat dari Daerah Begusarai, India telah mengarahkan kes itu dirujuk kepada pakar psikologi. 

Tidak lama selepas itu, Shamshad Hussain, seorang pakar analisis psikologi berpengkalan di Patna telah membuat analisis terhadap situasi Amarjeet Sada. Selepas menjalankan soal siasat, dia menyimpulkan bahawa Amarjeet merupakan seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai rasa menyesal, serta gemar menyakiti dan melihat kesakitan orang lain – petanda jelas ciri-ciri seorang psychopath.

Selain itu, Amarjeet juga mempunyai kecacatan menyebabkan berlakunya ketidak seimbangan bahan kimia dalam otaknya, mengakibatkan dia merasa lega dan puas apabila menyakitkan orang lain. Dia juga didapati mewarisi sejenis sifat suka melakukan keganasan kerana tidak dapat membezakan antara perkara betul dan salah.

Akhirnya, Amarjeet hanya dibicarakan di mahkamah juvana, dan berdasarkan undang-undang India, Amarjeet hanya akan dipenjara selama 3 tahun di dalam penjara Juvana, kerana undang-undang menetapkan bahawa tidak ada kanak-kanak boleh dihukum penjara lebih dari tempoh itu.

Selepas menjalani hukuman penjara, Amarjeet dikatakan menerima rawatan di sebuah institusi rawatan mental kerana keadaan mentalnya yang ekstrim mungkin boleh mengancam nyawa masyarakat.

Di mana Amarjeet Sada sekarang?

Tiada siapa tahu di mana Amarjeet sekarang. Namun pada tahun 2015 dia pernah dihubungi oleh pihak media "The Post Mortem Post," dan dia dikatakan berada di sebuah pusat tahanan kanak-kanak di India, dan akan terus berada di situ sehingga berusia 18 tahun.

Amarjeet kini sudah berusia 20 tahun, dan jika maklumat diterima sebelum ini benar, dia tentu sekali sudah dibebaskan dari pusat tahanan berkenaan. 

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan