Pedro Lascurain jadi Presiden selama 45 minit, paling singkat dalam sejarah

TEMPOH jawatan presiden biasanya berakhir selama 4 tahun. Tempoh itu cukup untuk seseorang presiden menetapkan dasar dan hala tuju negara yang dipimpinnya. Namun ada ketika segala rancangan tidak berjalan seperti diharapkan, terutama apabila individu yang salah telah dilantik atau dipilih memegang jawatan nombor satu negara itu.

$ads={2}

Kisah Pedro Lascurain presiden paling singkat dalam sejarah


Inilah yang terjadi kepada Pedro Lascurain. Dia dilahirkan dalam tahun 1856 daripada sebuah keluarga sederhana, dan memilih pengajian dalam bidang perundangan. Pada tahun 1880, Lascurain mendapat ijazah dan selepas beberapa tahun bertugas sebagai seorang peguam, dia telah dilantik sebagai Datuk Bandar Mexico.

Pedro Lascurain
FOTO | Pedro Lascurain

Ini merupakan satu pencapaian hebat baginya, namun dalam masa sama, Lascurain mahu melangkah lebih jauh lagi dalam bidang politik. Selepas beberapa tahun bertugas sebagai seorang datuk bandar, dia telah menggunakan segala jaringan politik dimiliki sebelum berjaya menjadi seorang Menteri Hal-ehwal Luar Mexico, satu kedudukan kedua paling tinggi selepas jawatan presiden.

Sekitar tahun 1910, berlaku peristiwa penting menjadi peralihan sejarah bukan sahaja kepada Pedro Lascurain, namun kepada semua rakyat Mexico di mana tercetui revolusi di negara itu. Semasa revolusi berkenaan, Francisco Madero telah mengambil alih kuasa dan muncul sebagai Presiden Mexico ke-37. Dia mahu menawarkan sebuah kerajaan demokratik untuk rakyat Mexico.

Francisco Madero selain mempunyai niat baik terhadap negaranya, dia juga merupakan seorang lelaki kaya dan sangat berkuasa. Dalam tahun 1910 hingga 1920, Mexico sering dilanda dengan perang saudara menyaksikan pelbagai pergelutan dan perang bersenjata di kalangan rakyatnya.

Tarikh 19 Februari 1913 menjadi permulaan sejarah hitam Mexico dan diingati oleh semua rakyatnya sampai ke hari ini, di mana berlaku pelbagai peristiwa polemik dan pergolakan. Apa yang menyedihkan, kebanyakan peristiwa itu berakhir dengan pertumpahan darah dan kematian. 

Pada tarikh itu juga berlakunya rampasan kuasa terbesar oleh pihak tentera dalam peristiwa dikenali sebagai "Revolusi Mexico" diketuai oleh Jeneral Victoriano Huerta dengan sokongan Duta Amerika Syarikat di Mexico ketika itu.

Jeneral Victoriano Huerta
FOTO | Jeneral Victoriano Huerta

Presiden Madero telah dipenjarakan di Istana Negara oleh angkatan tentera. Madero juga diugut akan dibunuh jika enggan melepaskan jawatannya sebagai presiden. Pedro Lascurain merupakan antara sahabat rapat Madero, dan dia berjaya memujuk presiden itu untuk meletakkan jawatan kerana nyawanya diancam bahaya.

Oleh kerana Madero telah bersetuju untuk meletak jawatan presiden, perundangan ketika itu menyatakan dengan jelas bahawa individu memegang jawatan kedua tertinggi harus menggantikannya sebagai presiden iaitu Menteri Hal-ehwal Luar.

Maka perletakan jawatan itu telah menyebabkan Pedro Lascurain menjadi presiden secara automatik. Ramai pengkaji sejarah berpendapat, Lascurain sebenarnya tidak peduli pun dengan keselamatan Madero, sebaliknya dia memujuk Madero meletak jawatan supaya dirinya sendiri dapat menjadi presiden.

Apa terjadi selama 45 minit Pedro Lascurain sebagai  Presiden?


Seorang jeneral tentera sepatutnya mengikut arahan seorang presiden, tapi perkara sebaliknya berlaku. Perkara pertama diputuskan oleh Lascurain sebagai Presiden Mexico adalah menjadi 'pak turut' kepada Jeneral Huerta. 

Jeneral Huerta yang mengetuai rampasan kuasa telah mengarahkan Presiden Lascurain supaya melantiknya sebagai Menteri Hal-ehwal Luar. Agak mengejutkan, rupa-rupanya selama ini Jeneral Huerta menginginkan jawatan itu, dan bukannya jawatan Presiden.

Selepas itu Presiden Lascurain telah dipaksa oleh Huerta untuk meletak jawatan, dan Lascurain patuh arahan itu, kerana jika tidak nyawanya pasti melayang. Meskipun ketika sedang melakukan rampasan kuasa, nampaknya Jeneral Huerta masih lagi menghormati sebahagian undang-undang negara, dan kerana itu dia mahu menjadi Menteri Hal-ehwal Luar supaya dapat menjadi Presiden secara automatik selepas Lascurain meletak jawatan.

Huerta akhirnya menjadi Presiden Mexico ke-39, selepas dia menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Francisco Madero dan Naib Presidennya Pino Suarez. Lascurain pula telah diberikan jawatan sebagai pentadbir politik, namun tidak lama selepas itu dia memilih bersara dan meninggalkan dunia politik sebelum meneruskan hidup sebagai peguam.

Pedro Lascurain meninggal dunia dalam tahun 1952 ketika berusia 96 tahun akibat sakit tua. Namanya tercatat dalam sejarah Mexico sebagai presiden paling singkat memegang jawatan itu, iaitu hanya selama 45 minit. Manakala Victoriano Huerta pula telah digulingkan dalam tahun 1914 dan meninggal dunia pada tahun 1916 di Fort Bliss Prison.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan