Friday

Arab Saudi musnahkan ratusan ribu botol air zamzam tiruan


PULUHAN premis dan kedai yang terlibat dengan kegiatan menghasilkan air zamzam tiruan dilaporkan disita dalam serbuan besar-besaran di seluruh Arab Saudi baru-baru ini membawa kepada pemusnahan ratusan ribu botol air zamzam palsu.


Permintaan tinggi terhadap air zamzam yang lazimnya diminum oleh umat Islam ketika berbuka puasa di bulan Ramadan, selain kuantiti besar yang sering dibeli oleh jemaah umrah sepanjang bulan menyebabkan ada pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan.


Hanya sebahagian kedai-kedai berdaftar yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menjual air zamzam bagi mengekang pengedarannya di pasaran gelap serta mengelakan para jemaah dan penduduk menerima bekalan air zamzam tiruan.

Namun begitu masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan air zamzam tiruan yang dicampur dengan air biasa.

Pihak berkuasa Madinah awal minggu ini dilaporkan berjaya merampas lebih 3000 botol air zamzam palsu yang ditampal dengan pelekat Projek Air Zamzam Raja Abdullah di sebuah tempat letak kereta kawasan perumahan.

Kementerian Perdagangan dan Pelaburan Arab Saudi turut mengumumkan penutupan sebuah kilang di Buraydah yang didapati mengisi semula botol air zamzam dengan air biasa dan merampas lebih 6500 botol air tiruan itu dalam serbuan dilakukan baru-baru ini.

Kementerian terbabit juga turut menyita sebuah gudang haram di Mekah yang menyimpan air zam-zam dan menjualnya kepada kedai-kedai tidak berdaftar dan kira-kira 200 ribu botol air turut dimusnahkan.

Masalah yang sama turut dilaporkan merebak di bandar-bandar kecil apabila kementerian sama bertindak merampas lebih 1,600 botol air zam-zam tiruan di bandar Akhil yang terletak di tenggara Arab Saudi.

Kegiatan tersebut mendorong Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Arab Saudi mengeluarkan amaran kepada pelanggan supaya tidak membeli air zamzam dari kedai-kedai yang tidak berdaftar.


EmoticonEmoticon