Ifan Seventeen kongsi detik ngeri dibadai dan ditarik tsunami ke tengah laut (bahagian 1)

PENYANYI kumpulan Seventeen, Ifan atau nama sebenarnya Riefian Fajarsyah menceritakan kembali pengalaman ngeri ketika dibadai dan ditarik ke tengah laut oleh ombak tsunami di Pantai Tanjung Lesung, Selat Sunda 22 Disember tahun lalu ketika sedang menyampaikan persembahan.

Perkara pertama dirasakan katanya, tiba-tiba pentas tempat dia menyanyi dirasakan bergerak ke hadapan sebelum dia terhumban ke dalam air laut.



"Tiba-tiba panggungnya (pentas) jalan (ke hadapan), tiba-tiba kita di dalam air," kata Ifan menceritakan kembali detik kejadian itu.

Dia kemudian dibadai oleh ombak kedua sebelum ditimpa oleh bumbung pentas tempat dia menyampaikan persembahan.

Ifan Seventeen

Menurut Ifan, kejadian itu berlaku terlalu pantas sampaikan otaknya tidak mampu berfikir apakah sebenarnya yang sedang berlaku.

Pada mulanya, Ifan menyangka pada ketika itu dunia sudah kiamat, "Ini kiamat ni!" kemudian selepas beberapa ketika di dalam air dia berubah fikiran, "ini mimpi!".

Kemudian Ifan merasakan pinggangnya terikat oleh sesuatu, sama ada tali atau besi.

"Fikiran terus bertanya ini apa, ini apa. Ombak ketika itu deras, kayu, besi, gak tau apa banyak yang kena kepala, apa segala, dan itu ada ngikat di pinggang entah tali apa (atau) besi," katanya.

Menurut Ifan, ketika itu naluri dalam dirinya untuk terus bertahan (survival instinct) membuatkan dia cuba untuk naik ke permukaan air, namun tidak boleh kerana pinggangnya terikat.



Maka ketika itu dia cuba menenangkan diri, memesan kepada dirinya sendiri agar tidak panik.

"Terus gua berfikiran begini, jangan sampai panik, jangan sampai panik," katanya.

Entah bagaimana, Ifan kemudian berjaya timbul ke permukaan air untuk mengambil nafas.

Ketika itu menurut Ifan, kedudukannya sudah jauh dari pantai. Namun pada ketika itulah baru dia sedar bahawa kejadian yang dialaminya itu adalah tsunami.

"Begitu timbul gua dengar orang teriak Tsunami! Tsunami! Itu pertama kali gua sadar kalau itu adalah Tsunami," katanya.

Ketika itu Ifan merasa syukur berjaya mengambil nafas kembali, dan mengetahui bahawa dia sedang mengalami kejadian Tsunami.

Namun tiba-tiba ombak kembali menolaknya ke tengah laut.

"Tiba-tiba kedorong lagi ke laut, gua melihat orang-orang (ramai orang) itu, gua melewati (melepasi) mereka,"

"Gua cuba menggapai daun, terlepas. Terus itu kelihatan jelas daratan sudah semakin jauh," katanya.

Tambahnya lagi, ada ketika dia ditarik, dipeluk, ditendang dan dicekik oleh orang ramai yang masing-masing cuba menyelamatkan diri di tengah laut.



"Gua sempat yang macam-macam, dijambak, ditarik, dipeluk, dicekik ada kaki kena muka, kerana orang itu kan sangking panik, kepalanya di bawah, kakinya nendang-nendang,"

"Wallahualam, ada yang (berdepan) sakaratul maut (sedang dicabut nyawa) mungkin, kan kejang itukan sakaratul maut itu, reaksi badannya kejang, jadi nendang-nendang muka, kena muka gitu," jelas Ifan.

Pada ketika itu Ifan sudah mula merasakan hilang harapan, dan bersedia untuk berdepan dengan ajalnya.

"Pada ketika itu gua udah kayak (seperti) okay ya Allah, habislah tapi gua terus cuba fight (lawan),"

"Mungkin kerana badan gua agak lebih besar di banding yang lainnya, jadi gua agak sedikit lebih kekuatan buat berontak (menggapai)," ujar Ifan.

Dalam keadaan yang berkecamuk itu, Ifan bertemu dengan meja makan jenis boleh lipat yang terapung, dan tinggal separuh kerana sudah patah. Ketika itu, ada seorang lelaki menarik badannya.

"Bila gua pegang itu (meja makan), tiba-tiba orang sebelah tarik badan gua. Terus gua ngomong gini, mas jangan tarik badan saya, tarik mejanya. Kerana kalau tarik badan saya kita mati, jangan tarik badan saya,"

"Alhamdulillah si mas ini (lelaki ini), kayaknya berfikiran masih sihat, dipegang mejanya, tapi ternyata meja itu hanya cukup menumpang hanya satu orang,"

"Begitu dua orang pegang mejanya tenggelam, di depan datang lagi (orang lain) pegang meja lagi, makin tenggelam," jelas Ifan.

Kata Ifan apabila tenggelam semula ke dalam laut, membuatkannya kembali merasa hilang harapan untuk hidup.



"Jadi tenggelam lagi tu aja udah cukup sangat-sangat buat orang-orang yang di tengah laut dan termasuk gua hilang harapan lagi untuk hidup," katanya.

Ketika itu, Ifan merasa sangat penat, dan saat itu dia sempat berdialog dengan Allah di dalam hati serta bersedia untuk berdepan ajal.

"Ya Allah inilah rupanya detik gua mati, kerana udah enggak ada kekuatan, gak ada," katanya.

Pada ketika itu, fikiran Ifan mula mengelamun dan berfikir lebih jauh, mula mahu mengambil langkah terakhir, iaitu berserah diri dan pasrah.

"Gua fikir begini, kalau kita tenggelam begitu, badan manusia itu yang penting jangan telan air laut. Kerana kalau menelan air laut, saat itu juga badan manusia akan rosak dan mati. Kerana gua sempat (pernah) baca itu,"

"Kalau kita tenggelam di dalam laut, yang perlu kita lakukan ialah menutup mulut. Kalau pun memang kita pengsan, kuping, hidung, telinga dan semua lubang yang ada di tubuh itu automatis akan menutup, kayak punya proteksi sendiri,"

"Oleh itu kita punya waktu 10 sampai 15 minit, kalau gak salah ya, sampai akhirnya badan kita gak kuat, air lautnya masuk (dan) kita mati," kata Ifan.

Jadi ketika itu Ifan berdepan pilihan sama ada mahu mati ketika itu atau 15 minit lagi.

"Gua pilihnya (mati) 15 minit lagi dong, siapa tahu ada nelayan ada team SAR atau segala macam yang nyelamatin tiba-tiba,"

"Gua berharap keajaiban aja," kata Ifan mengimbas kembali detik dia mula berhenti berharap sebaliknya memilih untuk berserah.

Ifan ketika itu mula mendiamkan diri, membiarkan dirinya tenggelam ke dalam laut dan bersedia untuk pengsan.



"Okay kita tunggu, sebentar lagi gua pengsan, gua gak sadar, mudah-mudahan 15 minit lagi ada yang nyelamatin (selamatkan)," katanya.

Ketika itu Ifan mula mengucapkan syahadah kerana katanya sudah terlalu penat dan tidak mempunyai sebarang tenaga.

Namun pada saat itulah tiba-tiba dia timbul hampir ke permukaan air sebelum terpegang hujung sebuah kotak.

Ikuti sambungan cerita ini di  bahagian 2

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan