Bumi tidak seperti sebiji bola, lebih kepada sebiji telur — Angkasawan Negara

SUSULAN kontroversi berlarutan berhubung perdebatan isu "bumi bulat atau rata," di media sosial, Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang merasa terpanggil untuk menjawab persoalan itu tampil memberikan pandangannya.

Sheikh Muszaphar Shukor

"Bumi berbentuk sfera, lebih tepatnya geospherical, penyek di bahagian kutub dan menggelembung di bahagian khatulistiwa, tidak seperti sebiji bola, lebih kepada sebiji telur (bentuknya)," tulisnya menerusi akaun Facebook.

Katanya setiap manusia patut pergi ke angkasa sekiranya diberikan peluang, kerana ia akan mengubah perspektif tentang hidup secara keseluruhan.

"Ia menjadikan anda seorang yang benar-benar beriman kepada Pencipta," katanya.

Menurut Sheikh Muszaphar, sebagai Angkasawan Islam ke 9 menerokai angkasa lepas, hatinya terdetik untuk menjawab desas-desus mengenai persoalan sama ada bumi berbentuk rata.

"Adalah menjadi tanggungjawab untuk diri ini menceritakan fakta sebenar. Mengelilingi bumi sebanyak 16 kali sehari, setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam. Mengelilingi orbit dengan kelajuan 27000 km/hr,"

"Laungan azan kedengaran seketika, bibir terkumat-kamit terpegun dengan kebesaran Ilahi melihat bumi dengan mata sendiri, degupan jantung berhenti seketika meremang bulu roma, mata tidak terkebil melihat kebesaran Maha Pencipta,"

"Amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasa lepas, bergetar jiwa sepanjang 12 hari di sana Masya-allah, SubhanAllah," tulisnya mengimbau kembali pengalaman berada di angkasa lepas.

Sheikh Muszaphar turut mengakui bahawa adalah sukar untuk mengubah minda golongan yang yakin bahawa bumi berbentuk rata.

"Tetapi saya di sini untuk berkongsi pengalaman saya apa yang telah saya lihat, dengan nama Allah ia datang dari hati saya," tulisnya sebelum mengakhiri kiriman itu dengan pesanan ringkas "sekadar mahu meluruskan fakta!"

1 Comments

  1. saksi mata yg memberi jawapan. saksi atas kertas kurang kredibiliti

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan