Rakyat pro demokrasi di Hong Kong berhimpun tunjuk solidariti dengan Muslim Uighurs

LEBIH 1,000 orang rakyat pro demokrasi di Hong Kong turun berhimpun di tengah-tengah ibu kota hari ini bagi menunjukkan solidariti kepada orang Islam berbangsa Uighurs di China.

Solidariti Uighurs di Hong Kong

Orang ramai yang menyertai himpunan solidariti itu dilihat mengibarkan bendera Uighurs dan pelbagai poster-poster sambil menyamakan nasib mereka dengan golongan minoriti Muslim Uighurs yang ditindas.

Menurut seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian, himpunan yang pada asalnya aman bertukar menjadi kecoh apabila sekumpulan kecil individu mengambil bendera China dari sebuah pejabat kerajaan yang terletak berhampiran tapak himpunan lalu cuba membakarnya.





Penganjur telah bertindak menghalang bendera itu dari dibakar, namun pihak polis anti rusuhan kemudian merempuh masuk ke dalam himpunan dengan penyembur lada sekaligus menimbulkan kemarahan dari orang ramai lalu bertindak membaling botol-botol air ke arah mereka.

Polis Hong Kong

Seorang pegawai polis dilihat mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke arah kumpulan peserta himpunan tanpa melepaskan tembakan. Beberapa orang individu yang membantah turut ditahan oleh pihak berkuasa.

Peserta himpunan dilaporkan terdiri dari kalangan golongan muda dan tua berpakaian hitam sambil memakai topeng muka untuk menyembunyikan identiti mereka.

Mereka membawa poster dengan tulisan seperti "Bebaskan Uighur, Bebaskan Hong Kong," dan "Autonomi palsu di China punca pembunuhan beramai-ramai,"

Himpunan itu dianjurkan sselepas bintang bola sepak Arsenal Mesut Ozil bertindak mengkritik dasar negara China terhadap etnik minoriti Muslim di Wilayah Xinjiang.

Ozil merupakan seorang muslim dari Jerman yang berketurunan Turki mengirim menerusi akaun Twitter "pahlawan menolak penganiayaan," dan mengkritik tindakan zalim kerajaan China di Xinjiang dan negara-negara saudara Muslim yang membisu melihat tindakan itu.





"Saya rasa kebebasan asas dan kemerdekaan patut wujud terhadap semua orang, bukan sahaja untuk Hong Kong," kata seorang wanita berusia 41 tahun bernama Wong, yang menghadiri himpunan itu bersama suaminya.

Menurut pakar dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya sejumlah satu juta bangsa Uighurs dan bangsa lain dari kumpulan minoriti Muslim telah ditahan di kem tahanan Xinjiang sejak 2017 tindakan yang turut dikecam oleh Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Menjawab dakwaan itu, Beijing berkata sekadar menyediakan latihan vokasional untuk membantu menyingkirkan puak pemisah dan untuk mengajar kemahiran-kemahiran baru sambil menafikan salah laku terhadap Bangsa Uighurs.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan