Sumpah laknat dalam masjid, ini pandangan Mufti Wilayah Persekutuan

ALHAMDULILLAH, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mufti Wilayah Persekutuan

Pada pagi yang mulia ini — Isnin 23 Disember 2019 bersamaan 26 rabiul akhir 1441 Hijri — kami menerima kunjungan pihak Jabatan agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mendapatkan pencerahan dan pandangan berkaitan sumpah mubahalah.

Justeru kami katakan seperti berikut:

1. Sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali dalam bab li'an. Manakala mubahalah dalam surah Al-Imran ayat ke 61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam, sebaliknya ia dikategorikan dalam bab Sumpah dalam perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah yang palsu. Perkara ini pernah direkodkan berlaku antara Rasulullah SAW dengan golongan bukan Islam, dan kes perbezaan pembahagian harta pusaka yang berlaku pada zaman sahabat.

2. mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah. Bahkan proses Keadilan di mahkamah tidak eksklusif kepada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim.

3. Dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh qadhi atau hakim. Ianya dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengar. Ia disebut sebagai Al-Amin al-qadha'iyyah. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang menyebut — Pembuktian adalah tanggungjawab pihak pendakwa, manakala sumpah penafian adalah tanggungjawab orang yang didakwa.

4. Antara fungsi dan peranan masjid di dalam Islam adalah

a. Tempat pembinaan kerohanian

b. Tempat pengukuhan sosial umat Islam

c. Tempat pembelajaran dan pendidikan

d. Tempat meleraikan permasalahan kehidupan seperti isu perundangan dan lain-lain.

e. Tempat mengatur sistem politik seperti syura, baiah dan membuat resolusi serta keputusan yang besar.

f. Tempat penyampaian arahan pemerintah. (Lihat Mausu'ah Qadaya Islamiyyah Mu'asirah oleh Dr Muhammad Al-zuhaili, 1/217-219)

5. Pada masa kini telah wujudnya mahkamah untuk penyelesaian isu perundangan. justeru kami berpendapat bahawa mahkamah adalah tempat yang lebih sesuai dan tepat untuk melakukan sumpah, jika diperlukan.

6. pihak Jabatan agama Islam Wilayah Persekutuan wajar mewujudkan dan menguatkuasakan apa-apa peraturan yang melarang apa-apa majlis yang berkaitan dengan sumpah atau sumpah laknat yang melibatkan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, bagi mengelakkan institusi masjid dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.

7. Berkenaan isu sumpah dan mubahalah pihak kami akan menerbitkan satu Bayan Linnas khas dengan tajuk Mubahalah: Fiqh dan isunya dalam masa terdekat.

semoga kita semua sentiasa menghormati dan memuliakan masjid serta meraikan segala adab-adabnya. Amin


Akhukum fillah,

SAHIBUS SAMAHAH DATO' SERI DR.
ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

Mufti Wilayah Persekutuan
23 Disember 2019 bersamaan 26 rabiul akhir 1441 Hijrah.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan