Gerai nasi kandar terkenal Penang disaman

DUA gerai nasi kandar terkenal di Pulau Pinang disaman oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) kerana makanan tercemar dan penyediaan makanan yang tidak sempurna.

Dalam satu operasi dijalankan oleh MBPP semalam kedua-dua gerai nasi kandar itu yang terletak di jalan Gurdwara dikenakan tindakan saman lebih RM200.

nasi kandar beratur

Deens Maju Nasi Kandar dikenakan dua saman kerana meletakkan bahan mentah di atas lantai dan tidak menyimpan telur rebus dengan sempurna, yang boleh mengakibatkan makanan tercemar.

Premis kedua Line Clear Nasi Kandar yang menyimpan pelbagai makanan dalam satu peti sejuk juga dikenakan denda.

Line Clear Nasi Kandar

Kedua-dua gerai berkenaan antara enam premis yang diperiksa oleh para pegawai MBPP semalam. Dari enam premis berkenaan, tiga diarah tutup ketika operasi dijalankan, dengan 7 saman berjumlah RM520 dikeluarkan terhadap empat daripada enam premis premis tersebut.

Menurut Bawani Murugasan, Pegawai Jabatan Kesihatan Alam Sekitar MBPP tiga premis diarah tutup selepas pihaknya menemui najis tikus, lipas dan pelbagai haiwan perosak.

"Kami temui najis tikus di premis yang terletak di Jalan Macalister, manakala premis lain di Jalan Gurdwara kami menemui lipas-lipas hidup dan satu bangkai tikus. Ketiga, sebuah pusat penjaja, juga di jalan Gurdwara, kami menemui najis tikus dan kami dapati ia tidak bersih,"

"Ketiga-tiga premis itu telah diarah tutup berdasarkan peraturan MBPP di bawah Seksyen 38 (1) Akta Penyediaan Makanan 1991," katanya dalam satu sidang media selepas menjalankan operasi.

Tambahnya lagi pemeriksaan akan diteruskan di seluruh Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

"Ini merupakan pemeriksaan kami buat kali kelapan sejak kami memulakan operasi pada bulan November lalu,"

"Kami telah memeriksa sejumlah 28 premis setakat ini, dan mengarahkan 21 premis ditutup. Sejumlah 33 saman berjumlah RM2,500 telah dikeluarkan. Kini selepas kami menjalankan pemeriksaan, kami dapati sedikit peningkatan dari segi kebersihan dan keceriaan sejumlah premis," tambahnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan