Demi keluarga, rakyat Malaysia sanggup jadi gelandangan di Singapura

MEREKA dilaporkan tidur di tepi jalan atau di tempat-tempat duduk awam, mandi di tandas awam dan kadangkala terpaksa berlapar untuk berjimat.


Inilah realiti berat yang terpaksa dihadapi oleh ratusan rakyat Malaysia bekerja di Singapura, yang terpaksa hidup seperti gelandangan berikutan pandemik Covid-19 menyebabkan penutupan sempadan Malaysia—Singapura.

Rakyat Malaysia jadi gelandangan di Singapura

Antara lain kos sara hidup yang tinggi di republik itu, ditambah dengan pemotongan upah oleh majikan membuatkan mereka terpaksa mencari jalan drastik untuk menjimatkan setiap sen wang yang diperolehi.

Demi untuk menjaga 'periuk nasi' serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh segelintir majikan juga dikatakan memaksa mereka untuk terus kekal di Singapura.


Antara peraturan yang boleh menjejaskan pekerjaan mereka ialah perintah kuarantin wajib selama 14 hari bagi individu yang masuk ke republik itu dari Malaysia.

Shahruddin Hael Helmy Mohd Noh, 34 yang bertugas di sebuah syarikat minuman di Singapura berkata lebih 100 orang rakyat Malaysia di sana kini tiada tempat tinggal, kerana tidak mampu menyewa bilik atau tempat tidur.

Menurutnya dengan pendapatan purata bulanan di antara S$800 (RM2,441) dan S$1,400(RM4,271), ramai di kalangan mereka tidak mampu untuk menyewa tempat tidur berharga di antara S$300(RM915) dan S$500(RM1,525) sebulan atau menanggung sendiri bilik yang berharga di antara S$700(RM2,135) dan S$1,200(RM3,660).

"Jumlah itu belum termasuk perbelanjaan harian seperti makanan sekitar S$20 (RM61) dan kos pengangkutan S$3 (RM9) dan S$4 (RM12) untuk setiap trip.


"Sebilangan kami hanya tinggal S$100 (RM304) untuk dibelanjakan selama sebulan, selepas menghantar wang S$700 (RM2,134) kepada keluarga di Malaysia dan S$300 bagi bayaran sewa katil tempat tidur,"

Katanya untuk menjimatkan duit kebanyakkan mereka hanya makan mi segera ketika sarapan, makan tengah hari, dan makan malam.

"Ketika masa lapang, saya akan cari roti yang tidak laku dari lori pembawa roti untuk diberikan kepada kawan-kawan gelandangan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya kebanyakkan rakyat Malaysia di Singapura terpaksa kekal di sana kerana mereka merupakan satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga.

"Jika mereka pulang ke Malaysia, mereka mungkin hadapi kesukaran untuk mencari kerja semasa situasi sukar ini. Bagaimana mereka nak sara keluarga nanti?" katanya.


Menurut Shahruddin yang sudah bekerja di Singapura sejak enam tahun lalu, kembali ke Malaysia bukan pilihan terbaik waktu ini.

"Mereka perlu melalui ujian saringan dan membayar kos pengasingan wajib selama 14 hari di Malaysia. Saya diberitahu kita perlu membayar RM2,200 untuk kedua-dua kos tempat kuarantin dan ujian Covid-19,"

"Bukan saja mereka perlu berhenti kerja (seperti peraturan yang ditetapkan oleh sebahagian majikan), mereka juga perlu keluarkan wang yang banyak untuk pengasingan dan ujian saringan. Jadi mereka pilih untuk tinggal di sini,"

Menurutnya masalah itu hanya boleh diselesaikan sekiranya sempadan Johor Bahru—Singapura dibuka semula untuk laluan harian.

"Barulah mereka nanti ada tempat tinggal dan boleh mencari rezeki,"

Tambahnya lagi, kebanyakkan keluarga mereka yang menjadi gelandangan di Singapura tidak mengetahui keadaan itu.

"Mereka berahsia kerana tidak mahu keluarga di rumah berasa bimbang. Mereka ini sanggup bekerja keras dan berlapar untuk keluarga tersayang,"

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan