'Iron Man' jual air jagung tepi jalan lepas dibuang kerja

MUNGKIN anda pernah terserempak dengan Iron Man sedang menjual air jagung di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang.



Sekali pandang, dia nampak gagah dan garang kerana menyerupai watak adiwira filem barat. Namun di sebalik kostum itu, seorang pemuda sedang berpeluh-peluh menahan rimas dan panas demi mencari sesuap nasi terutama ketika cuaca panas.

iron man jual air jagung tepi jalan

Muhammad Syukur Mohd Patthi berusia 26 tahun sebelum ini bertugas sebagai salah seorang kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi. Namun telah dibuang kerja akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Beliau tidak mengeluh sebaliknya berikhtiar untuk meneruskan kelangsungan hidup menggunakan kreativiti memakai kotum 'iron man' untuk berniaga air jagung di tepi jalan.

"Sebagai anak muda kita jangan terlalu berharap pada bantuan dan pemberian orang. Selagi ada kudrat lebih baik cari rezeki sendiri," katanya seperti yang dipetik oleh sumber berita Bernama.


Syukur turut bersama dua lagi rakannya, Yusri Md Saad, 35 tahun dan Mohamad Zaidi Zainal Abidin, 33 berniaga air jagung di persimpangan jalan berhampiran Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Menurutnya sebelum ini, ketika masih bertugas di sebuah syarikat telekomunikasi, dia turut melakukan kerja sambilan sebagai penghibur memakai kostum adiwira dan watak kartun bersama sebuah kumpulan bergelar Geng Superhero Penang (GSP).

Mereka selalu dijemput untuk menghiburkan kanak-kanak pada majlis hari jadi dan lain-lain.


"Namun sejak pandemik Covid-19 melanda negara, semua tempahan telah dibatalkan. Jadi kami rasa dengan memakai kostum ketika menjual air jagung merupakan cara yang unik untuk menarik pelanggan,"

iron man

"Walaupun kini kami terpaksa berhujan dan berpanas di tepi jalan. Setiap kali orang ramai melambat atau bunyikan hon, rasa letih itu berbaloi. Kami faham sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai yang rindu suasana luar, jika dengan melihat kami ini mereka boleh terhibur saya turut gembira," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan