Kanak-kanak ini terkejut 42 rider FoodPanda datang hantar makanan yang dipesan

DIFAHAMKAN, gara-gara sambungan internet yang lembab, telah mengakibatkan pesanan makanan yang dibuat oleh seorang kanak-kanak menerusi aplikasi FoodPanda jadi berganda.


Kejadian ini dilaporkan berlaku di sebuah lorong sempit di Bandar Cebu Filipina pada 25 November lalu.

42 FoodPanda riders

Sejumlah 42 orang penghantar makanan FoodPanda tiba di kawasan berkenaan untuk menghantar berpuluh-puluh kotak 'chicken fillet' yang dipesan oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun.

Salah seorang jiran kanak-kanak itu, bernama Dann Kayne Suarez menceritakan kembali kisah itu menerusi siaran Facebook live.


Katanya, kesemua 42 orang rider FoodPanda itu tiba dengan menunggang motosikal, masing-masing membawa set 'chicken fillet' yang turut mengandungi nasi dan kentang goreng berharga 189 Peso (RM16) bagi setiap hidangan.

Jika setiap rider membawa satu kotak pesanan, ibu bapa kanak-kanak itu perlu membayar sejumlah 7,938 Peso (RM642).

Namun menurut Suarez, ada juga sebilangan rider yang membawa dua atau tiga set pesanan 'chicken fillet' untuk kanak-kanak itu.

Ketika kejadian berlaku ibu bapa kanak-kanak berkenaan keluar bekerja, namun telah meninggalkan telefon bimbit kepadanya supaya dia dapat membuat pesanan makanan secara online untuk dirinya dan nenek yang tinggal bersama.


Katanya, kanak-kanak itu tahu bagaimana untuk membuat pesanan menerusi aplikasi, kerana telah diajarkan oleh ibu bapanya. Sebelum ini pun dia pernah membuat pesanan makanan secara atas talian.

Namun oleh kerana sambungan Internet yang lembab, telah mengakibatkan gangguan sistem pesanan tersebut ujarnya.

"Dia membuat pesanan ketika internet lembab, oleh kerana aplikasi (FoodPanda) menunjukkan ralat, dia terus juga membuat pesanan beberapa kali menyebabkan berlaku gangguan kepada sistem pesanan tersebut," kata Suarez.

Ketibaan berpuluh-puluh rider FoodPanda itu telah mengejutkan Suarez dan jiran-jiran yang lain.

Kanak-kanak itu merasa takut dan menangis, kerana bimbang dia dan neneknya tak mampu untuk membayar kesemua daging ayam itu kerana ibu bapanya hanya meninggalkan wang yang hanya cukup untuk membayar satu pesanan makanan.

"Budak tu menangis, saya rasa kasihan dia tak tahu apa yang dah terjadi," kata Suarez.


Selepas mengetahui punca mengapa berpuluh-puluh rider foodpanda datang ke kawasan itu, Suarez dan jiran-jirannya cuba menyelesaikan keadaan dengan membeli baki makanan yang mereka bawa.

Namun sebahagian mereka terpaksa pergi kerana jiran-jiran juga tak mampu untuk membeli kesemua makanan tersebut.

Media tempatan yang melaporkan cerita ini telah cuba menghubungi pihak pengurusan Food Panda, namun gagal mendapatkan jawapan dari mereka.

Suarez sendiri turut membeli berkotak-kotak makanan itu dengan niat untuk tidak menghampakan rider FoodPanda berkenaan.

Sumber — sunstar.com.ph

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan