Orang dalam telco terima rasuah RM200,000 seorang subahat sedut kredit prabayar pengguna

MUNGKIN anda selalu dengar orang di sekeliling merungut, baru 'top up' handphone, guna tak banyak mana, tapi kredit cepat habis. Selalu juga kredit ditolak kerana menerima mesej-mesej 'sampah' berbayar. Barangkali perkara ini juga pernah berlaku kepada anda sendiri.


Rupa-rupanya, memang ada jenayah terancang melibatkan orang dalam syarikat telco sendiri yang bersubahat untuk menyedut kredit pengguna prabayar ini.

Orang dalam syarikat telco, dikesan bersubahat dengan lebih 100 syarikat penyedia kandungan untuk melakukan jenayah 'menyedut' kredit prabayar milik pengguna telefon bimbit di negara ini.

Syarikat-syarikat ini menghantar pelbagai mesej melalui sistem SMS ke telefon pelanggan prabayar dan mengenakan cas antara RM0.50 hingga RM5 bagi setiap mesej-mesej "sampah".

TAG

Perkara itu didedahkan oleh sumber dalaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Menurut sumber itu, ramai pakar teknikal, dan 'orang penting' syarikat telco yang dikesan bersekongkol  menjual data peribadi milik pelanggan berdaftar talian prabayar.

"Jika diambil kira jumlah kerugian pengguna prabayar di negara ini susulan aktiviti haram dikesan, SPRM menganggarkan ia mencecah RM100 juta jika mengambil kira peratusan keuntungan diperoleh telco dan syarikat penyedia kandungan ini," kata sumber berkenaan.


"Antara jawatan yang dikenal pasti menerima rasuah ini adalah pengurus proses pembayaran, bajet koordinator, penyedia kandungan eksklusif, penyedia tadbir urus, pengurus produk dan ketua projek, dan pelbagai jawatan penting lain,"

"Berdasarkan siasatan, mereka ini bersekongkol dengan syarikat penyedia kandungan yang memberikan rasuah bagi mendapatkan data sulit pelanggan telco," 

"Syarikat penyedia kandungan ini adalah syarikat berasingan yang dikesan membayar wang rasuah kepada 'orang dalam' tertentu di telco dengan bayaran antara RM100,000 hingga RM200,000 seorang," 

"SPRM percaya jumlah keseluruhan rasuah yang sudah diberikan kepada kakitangan telco mencecah puluhan juta ringgit sejak kegiatan itu bermula hampir 10 tahun lalu,"

"Setakat ini 5 telco sudah disiasat dan siasatan menyeluruh akan dilakukan terhadap lebih banyak syarikat komunikasi yang diyakini bersekongkol dengan syarikat penyedia kandungan ini," katanya.


Tambahnya lagi kakitangan bahagian teknikal dan aduan telco menjadi tumpuan 'syarikat jahat' ini berikutan mereka mempunyai akses untuk membocorkan data dan maklumat sulit pelanggan.

Selepas menerima maklumat sulit itu, syarikat berkenaan akan menghantar pelbagai kandungan mesej melalui system SMS, ke telefon pelanggan prabayar berkenaan.

Namun di setiap SMS yang dihantar mempunyai caj tersembunyi mengakibatkan kredit prabayar pengguna akan ditolak sehingga RM5 bagi setiap ring tone, wallpaper, dan permainan interaktif yang dihantar. 

Malah ada juga pelanggan yang dikenakan caj walaupun tidak menerima apa-apa mesej.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan