Satu lagi laporan polis terhadap Dai Syed

PIHAK polis dilaporkan telah menerima satu lagi laporan berhubung kes cabul yang disyaki melibatkan seorang pendakwah selebriti dipercayai Dai Syed semalam.


Nik Ezanee Mohd Faisal, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkata pihak polis telah menerima laporan daripada seorang wanita yang juga pelajar sebuah kolej pada 3.51 petang semalam.

Dai Syed

Menurutnya mangsa berusia 22 tahun mendakwa suspek telah mengajak ke rumahnya yang terletak di Damansara Perdana pada 1.00 pagi 17 Oktober lalu untuk mengajarnya tentang ilmu pemasaran perniagaan.

Menurut mangsa lagi, semasa berada di rumah suspek, mangsa telah dicabul dan dipaksa untuk melakukan seks oral.

Kata Nik Ezanee, mangsa mengalami trauma dan kini sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


"Suspek masih ditahan di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam berkaitan kes rogol yang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini suspek telah ditahan reman selama lima hari bermula hari Jumaat lalu untuk membantu pihak polis menyiasat satu laporan kes rogol daripada seorang wanita yang mendakwa dirogol pendakwah terbabit pada bulan September tahun lalu.

Suspek yang akan tamat tempoh reman esok akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan tempoh reman yang baru.

Pendakwah berkenaan telah tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam sebelum ditahan kira-kira jam 11 malam.

Pihak polis juga turut meminta mangsa-mangsa lain supaya tampil membuat laporan dan jangan merasa bimbang.

Sebelum ini ayah kepada pendakwah itu juga menggesa semua wanita yang menjadi mangsa anaknya agar membuat laporan polis dan memberi jaminan tidak akan mempertahankan atau menyebelahi anaknya.


Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan