Daftar perniagaan online dan lesen di MalaysiaBiz portal

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini dilapor melancarkan MalaysiaBiz Portal yang menyediakan khidmat sebagai 'one-stop centre' untuk memudahkan pendaftaran perniagaan online dan permohonan lesen.



Katanya portal itu dibangunkan oleh Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU) yang bertujuan untuk mencipta suasana mesra perniagaan bagi menggalakkan persaingan dalam negara sekali gus memacu perkembangan ekonomi tempatan.

Malaysiabiz portal

"Saya menyeru usahawan untuk mengambil peluang ini. Daftarlah dan mohon lesen perniagaan anda menerusi portal MalaysiaBiz,"

"Mari kita memastikan kejayaan inisiatif ini," katanya dalam ucapan perasmian portal tersebut yang turut dimuat naik di halaman Facebook MAMPU.

Menurutnya, portal itu dibangunkan kerana kerajaan menyedari kepentingan platform digital dalam perniagaan dan sumbangan perusahan industri kecil dan sederhana (IKS) kepada pendapatan negara.


Katanya, IKS telah menyumbang sebanyak 38.9 peratus produk kasar tempatan (GDP) pada tahun 2019 berbanding 38.3 peratus dalam tahun 2018 dan mensasarkan sumbangan 45 peratus kepada GDP pada 2025 dan 50 peratus menjelang 2030.

Tambahnya lagi budaya membeli barangan atas talian hari ini menunjukkan IKS mempunyai potensi untuk berkembang pesat, justeru langkah-langkah untuk menjana perkembangan IKS akan terus diberi keutamaan.

Katanya perhatian khusus diberikan kepada IKS menerusi bantuan kewangan, latihan, perkakas digital dan geran termasuk peruntukan RM1 bilion untuk menggalakkan kegiatan digital sehingga 31 Disember 2023.

Sejumlah RM4.6 bilion telah diperuntukkan untuk memperkasakan usahawan bumiputera dan menyediakan bantuan kewangan khas mikrokredit menerusi Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan AgroBank untuk manfaat usahawan wanita.


"Usaha ini menggambarkan komitmen kerajaan untuk menggalakkan IKS dan selari dengan rangka inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini, seperti Skim Penjana IKS dan Geran Prihatin Khas bagi mengurangkan beban peniaga," katanya.

Portal MalaysiaBiz (https://malaysiabiz.gov.my) merupakan sistem atas talian yang menggabungkan 17 agensi-agensi kerajaan bagi membolehkan peniaga mendapatkan perkhidmatan menerusi satu gerbang.

Portal itu merupakan sebahagian usaha peningkatan perkhidmatan awam menuju ke arah kerajaan digital, hasil kerjasama di antara MAMPU, kementerian Pembangunan usahawan dan syarikat, dan SME Corporation Malaysia.

1 Comments

  1. Wah! Ini sungguh bagus. Sekarang ini pun bisnes kecil agak sukar untuk daftar perniagaan sendiri disebabkan kekangan kos.

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan